Elly terima cincin daripada Papa. FOTO NSTP/IG Elly Mazlein
Elly terima cincin daripada Papa. FOTO NSTP/IG Elly Mazlein
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan pelakon, Elly Mazlein, 38, meluahkan rasa gembiranya bersempena ulang tahun kelahirannya semalam dan menerima sebentuk cincin daripada kekasihnya yang dikenali sebagai Papa.

Namun, Elly menegaskan bahawa itu bukanlah cincin risik atau pun cincin pertunangan, sebaliknya lebih selesa menggelarkannya sebagai Cincin Assalamualaikum.

“Kami gelarkannya sebagai Cincin Assalamualaikum atau cincin perkenalan. Sebelum ini, Papa beberapa kali memberikan hadiah jambangan bunga. Jadi, hadiah kali ini lebih istimewa,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, dia rasa sangat terharu dengan hadiah itu.

“Yang lebih membuatkan saya terharu adalah, bersempena sambutan ulang tahun kelahiran pada tahun ini juga, ada insan seperti keluarga dan Papa meraikannya bersama saya,” katanya.

Tambah Elly, dia akan memaklumkan kepada rakan-rakan media dan peminat sekiranya ada berita mengenai risik-merisik atau pertunangannya.

“Kalau ada, tentunya saya akan maklumkan kepada semua. Buat masa sekarang, kami masih dalam proses perkenalan,” katanya.

Bersempena ulang tahun kelahirannya ke-38 ini, Elly memohon supaya peminat-peminatnya sentiasa mendoakan kesejahteraannya dan ingin menjadi manusia yang lebih baik.

“Saya berdoa supaya saya menjadi anak yang lebih baik kepada abah, menjadi ibu yang baik kepada anak saya, Putri Sara Sefhia dan saya juga doakan supaya Sefhia dapat membesar dengan baik,” katanya.

Elly juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada peminat-peminatnya yang mengadakan majlis kejutan sempena ulang tahun kelahirannya semalam.

“Mereka sentiasa menyokong kerjaya saya sejak zaman Gegar Vaganza lagi. Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang walaupun masing-masing sibuk dengan kerja, tetap meluangkan masa untuk mengadakan majlis kejutan seperti semalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 3:23 PM