KEADAAN Perodua Alza milik mangsa yang dirempuh lori di Kilometer 269.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI maut dirempuh lori ketika sedang menukar tayar Perodua Alza yang rosak di Kilometer 269.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, hari ini.

Dalam kejadian pada 6 pagi, mangsa Mohd Solehan Mohd Nasir, 32, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

Kemalangan itu turut mengakibatkan isterinya Nor Baizura Ab Aziz, 32, dan tiga anak mereka Nur Zakirah, 8, Nur Dayana Batrisya, 4, dan Nur Humairah, 3, yang berada di dalam kenderaan itu turut cedera.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, siasatan mendapati kenderaan yang dipandu mangsa bersama keluarga dari arah Jempol ke Kuala Lumpur mengalami kerosakan di bahagian tayar hadapan kanan.

“Akibat kerosakan itu, mangsa memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan dan menukar tayar.

“Ketika sedang menukar tayar, sebuah lori seberat tiga tan tanpa muatan hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang kanan kenderaan mangsa dan pemandu yang berada di lorong kecemasan ketika itu,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Hock Poh, kemalangan itu turut mengakibatkan lori berkenaan terbabas ke kiri lebuh raya dan memasuki longkang.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Selain itu, katanya, ahli keluarga mangsa dan pemandu lori, 45, serta kelindan, 55, yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

“Siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 1:06 PM