Siti Farhana melihat sarang kelulut yang diusahakan dalam hutan semula jadi di kawasan ladang hutan Kemasul.
Mohd Rafi Mamat


TEMERLOH: “Ternakan kelulut dalam kawasan hutan semula jadi mempunyai potensi besar bagi tempoh jangka panjang selain dapat menghasilkan jumlah madu yang lebih banyak,” ujar pegawai Pejabat Hutan Ladang Kemasul, Siti Farhana Adnan.

Menurutnya, pihaknya memperluaskan projek ternakan kelulut secara semula jadi dalam kawasan hutan itu yang terdapat pelbagai jenis spesies pokok.

Beliau berkata, fasa pertama projek berkenaan membabitkan 18 unit sarang kelulut jenis trigona ditempatkan dalam kawasan hutan semula jadi yang sama dengan habitat asal serangga itu.

Beliau berkata, projek bermula awal tahun ini kini mengeluarkan hasil apabila setiap minggu dua hingga lapan kilogram madu dapat kumpul bergantung kepada keadaan cuaca dan pengeluaran bunga pokok.

Katanya, usaha menambah sarang kelulut akan dilakukan secara berperingkat, kekurangan bekalan selain bajet yang terhad menyebabkan projek itu perlu diusahakan secara teliti dan tersusun.

“Saya juga difahamkan kualiti madu dihasilkan ( dalam kawasan hutan) juga lebih baik dan pekat selain rasa yang manis dan tidak terlalu masam, ” katanya, semalam.

Beliau berkata, projek kelulut Pejabat Hutan Ladang Kemasul di bawah Jabatan Perhutanan Pahang kini diseliakan oleh enam kakitangan yang bertanggungjawab memantau selain melakukan aktiviti seperti memungut madu, aktiviti pameran dan pendidikan

FASA pertama projek ternakan kelulut membabitkan 18 unit sarang jenis trigona.

Siti Farhana berkata, pihaknya turut menjadikan projek terbabit sebagai produk pelancongan yang boleh dikunjungi pengunjung, selain melihat kawasan ladang dengan pelbagai tanaman pokok balak pelawat juga boleh melihat sarang kelulut.

Katanya, ancaman serangan seperti semut dan tebuan menjadi musuh utama kelulut dan turut berlaku kegiatan mencuri oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menceroboh kawasan projek pada waktu malam.

“Kemajuan diperoleh memberi peluang lebih cerah kepada kami untuk meluaskan dan memperbesarkan lagi secara berperingkat projek ternakan kelulut dalam kawasan hutan semula jadi,” katanya yang turut mengusahakan ladang kelapa dan buluh madu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 8:15 AM