FOTO Hiasan
Safeek Affendy Razali


PELAKON wanita antara 19 individu ditahan dalam serbuan berhubung aktiviti pesta liar di kondominium mewah di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, semalam.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi, pada 12.30 tengah malam, hasil maklumat awam berhubung pesta liar di kondominium berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati 11 lelaki dan 8 wanita tempatan berusia antara 21 hingga lewat 40-an dalam kediaman di tingkat lapan.

Turut ditemui dalam serbuan sama adalah empat paket plastik berwarna hitam disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Hasil siasatan lanjut mendapati penganjur pesta berkenaan yang juga adalah seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 28 tahun dipercayai membiayai kesemua perbelanjaan pesta berkenaan termasuk pembelian bekalan dadah

Sumber berkata, pengunjung pesta berkenaan dipercayai berhibur dengan alunan muzik berdasarkan penemuan peralatan muzik seperti pembesar suara, lampu disko mudah alih serta subwoofer yang ditemui.

Penganjur juga dipercayai menyewa unit kediaman berkenaan dengan kadar RM1,000 satu malam sebelum menghantar jemputan melalui aplikasi WhatsApp.

Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati 11 daripada mereka positif dadah.

Pelakon wanita berusia pertengahan 40-an yang masih aktif membintangi beberapa telefilem dan drama bersiri itu serta tujuh lagi yang lain bagaimanapun didapati bebas dari penyalahgunaan dadah namun ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, ketika dihubungi malam tadi mengesahkan serbuan mengenai pesta liar berkenaan namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 8:38 AM