Amir Abdul Hamid

SEPANG: Dulu, dia hanya remaja Orang Asli yang gemarkan kehidupan di hutan namun selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibangunkan, ia menjadi inspirasi kepadanya untuk berjaya dalam kerjaya yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

Nasir Mizan, 36, dari suku Temuan Kampung Orang Asli Bakok di sini, kini menjadi koordinator projek sebuah syarikat swasta yang terbabit membangunkan projek mega pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) dan Menara Exchange 106 dengan merekabentuk pelan laluan wayar.

Katanya, minat dalam bidang rekaan pelan industri tercetus ketika mengikuti rombongan sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil ke Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang untuk melihat pameran pembangunan KLIA pada pertengahan 1990-an.

“Waktu itu KLIA belum ada. Saya kagum dengan pelan pembangunan lapangan terbang yang terletak tak jauh dari beberapa perkampungan masyarakat Orang Asli termasuk tempat saya tinggal di Kampung Orang Asli Bakok ini.

“Apabila KLIA dibuka pada 1998, saya lebih kagum apabila melihat pesawat terbang di udara atas kampung kami dalam jarak agak dekat.

“Detik-detik itu menyebabkan saya menanam azam untuk satu hari nanti mahu terbabit sama menyumbang dalam projek mega negara,” katanya.

Menurutnya, disebabkan terlalu kerap melihat pesawat, dia mengakui pernah menyimpan niat untuk menjadi juruterbang.

Tetapi katanya, perasaan gayat dan takut kemungkinan pesawat jatuh terhempas menyebabkan dia beralih cita-cita daripada menjadi juruterbang kepada seorang pelukis pelan.

“Selepas tamat sekolah, saya melanjutkan pelajaran di kolej swasta dalam jurusan sains komputer. Kemudian saya bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan sebelum menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan mendapat pinjaman pendidikan daripada MARA.

“Tamat pengajian, syarikat pembinaan sama memberikan kepercayaan untuk saya terus bekerja di syarikat itu sehingga diberikan peluang sebagai koordinator projek,” katanya.


PENDUDUK Orang Asli di Kampung Bakuk, Kota Warisan, Sepang.

Nasir yang mempunyai seorang anak hasil perkahwinan dengan Suriati Paya, 35, mengakui pembinaan KLIA mengubah kehidupan dan corak pemikiran masyarakat sekitar dan tidak ketinggalan suku Temuan yang mendiami perkampungan berhampiran lapangan terbang itu.

“Hutan dah tinggal sikit. Perkampungan kami sudah semakin dihimpit pembangunan sekitar akibat tempias kesibukan aktiviti di KLIA.

“Ketika saya kecil, tak pernah terbayang hutan dan kebun sekitar penempatan boleh berubah menjadi bandar yang begitu pesat membangun. Sekarang nak ke restoran makanan segera terkenal pun boleh berjalan sahaja,” katanya.

Selepas dua dekad dilancarkan secara rasmi pada 28 Jun 1998, KLIA yang menjadi ikon negara selain diiktiraf antara lapangan terbang utama paling terhubung di Asia Pasifik turut memberikan tempias kemajuan kepada penduduk mendiami penempatan sekitarnya.

Antara turut menerima manfaat itu ialah masyarakat suku Temuan berjumlah lebih 700 orang yang menghuni Kampung Orang Asli Bakok, Sungai Melut, Jambu, Kelinsing dan Bukit Tadom. Perkampungan mereka hanya kira-kira 15 minit perjalanan ke KLIA.

Mengikut laman sesawang Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), suku Temuan adalah suku keempat terbesar di dalam hierarki kaum Orang Asli di negara ini, jumlah mereka adalah seramai kira-kira 30,000 orang dan tinggal di Selangor, Melaka, Pahang, Johor serta Negeri Sembilan.


JANUDIN Kema dari Kampung Bakok bermain alat muzik tradisional.

Sementara itu, Norkan Lechu, 27, yang ditemui di Kampung Orang Asli Kelinsing berkata, pengalamannya pernah bekerja sambilan sebagai tukang cuci di KLIA membuka matanya untuk menjadi orang berjaya.

Norkan, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat (Kepujian) Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang ketika ini bekerja pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya itu berkata, dia teruja melihat pelbagai gelagat manusia di KLIA khususnya yang berpakaian segak dan kemas.

“Cita-cita saya waktu bekerja sambilan sebagai tukang cuci di KLIA itu, paling tinggi pun nak jadi kerani. Saya nak bekerja pejabat dan mahu berpakaian kemas seperti mereka.

“Permohonan saya untuk memasuki universiti berjaya dan ia merintis jalan ke arah cita-cita itu. Pada mulanya saya memang hampir berputus-asa dan nak berhenti belajar lebih-lebih lagi ayah saya Lechu Tuson meninggal dunia pada 2010 ketika saya baru sebulan mendaftar di UiTM Jengka.

“Namun, saya ingat pesan ayah agar berjaya dalam pelajaran dan mendapat kerja yang baik. Semangat ayah dan pertolongan rakan kuliah membolehkan saya berjaya menamatkan pengajian,” katanya yang juga penduduk tunggal Kampung Orang Asli Kelinsing memiliki ijazah.

Bagi bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Melut (Asli) dan SMK Dengkil itu, dia berharap kejayaannya menjadi pemangkin semangat kepada generasi di bawahnya mengikut jejak langkah sama atau lebih baik lagi.

“Untuk golongan muda, pelajaran amat penting bagi masyarakat kami yang dikelilingi kerancakan pembangunan selepas wujudnya KLIA.

“Tanah hutan dan kebun tradisi semakin lama semakin mengecil akibat pesatnya projek perbandaran baharu sekeliling perkampungan kami.

“Sudah pastinya kami akan tertinggal dalam arus kemodenan era milenium sekiranya meremehkan hal pendidikan terutama generasi muda yang akan menjadi pewaris kelangsungan hidup suku Temuan di negara ini,” katanya yang kini tinggal bersama ibunya, Ren Ganti, 67.

Menurut anak kesembilan daripada 10 beradik itu, dia masih ingat kenangan lama 20 tahun lalu apabila bersama keluarga dan sebahagian penduduk kampungnya memanjat bukit semata-mata mahu melihat pesawat pertama berlepas dari KLIA, namun kini bukit itu sudah bertukar menjadi perbandaran baru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 8:24 AM
SEPANG 03 DISEMBER 2018. Orang asli KLIA, di kampung orang asli Bakuk, Kota Warisan, Sepang. NSTP/ AZIAH AZMEE