Suraya Roslan


PEMAIN bass kumpulan popular Indonesia, Seventeen, Muhammad Awal Purbani atau Bani disahkan maut bersama pengurus, Oki Wijaya, manakala tiga lagi termasuk isteri vokalis band itu masih hilang selepas tsunami melanda kawasan Pantai Tanjung Lesung, Banten, Selat Sunda, semalam.

Perkara itu dimaklumkan vokalis kumpulan itu, Riefan Fajarsyah atau Ifan dalam satu rakaman video di Instagram peribadinya.

Ifan memaklumkan dirinya selamat tetapi Bani dan Oki meninggal dunia, manakala anggota band lain termasuk isterinya yang juga pelakon, Dylan Sahara masih hilang.

“Andi, Herman, dan Ujang belum diketemukan, minta doanya untuk isteri saya belum diketemukan," katanya.

Satu video memaparkan detik terakhir kumpulan itu sedang mengadakan persembahan sebelum ombak tsunami datang ‘menyapu’ pentas dan penonton, tular di laman sosial.

Band itu dilaporkan memenuhi jemputan dalam majlis tertutup di Tanjung Lesung Beach Resort, di Pandeglang, Banten.

Dalam video itu, Ifan yang sedang menyampaikan sebuah lagu sebelum ombak tsunami datang dari bahagian belakang pentas.

Lagi berita berkaitan Tragedi Tsunami Sunda

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 1:23 PM
DETIK ketika kumpulan Seventeen yang sedang mengadakan persembahan dibadai tsunami. FOTO Tular