ARDELL ARYANA
Amirul Haswendy Ashari


TAHUN 2019 diharap menjadi tahun kebangkitan semula buat pelakon dan pengacara, Ardell Aryana, 28, yang sejak awal tahun ini memilih untuk berehat daripada aktiviti seni kerana mengalami masalah kesihatan.

Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin berkata, dia ada mendapat banyak tawaran berlakon tahun ini tetapi terpaksa menolak kerana belum sembuh sepenuhnya.

Bagaimanapun, walaupun dipujuk Ardell tetap enggan berkongsi penyakit dihidapinya itu.

“Saya tidak mahu cerita atas banyak sebab. Netizen selalunya sokong ketika awal-awal saja, lama-lama mereka akan kecam.

“Lihatlah apa yang berlaku kepada Elyana dan Putri Balqis. Mereka jadi tertekan kerana netizen melontarkan pelbagai tuduhan tidak berasas. Contoh lain ketika saya terbabit dalam penggambaran video muzik, ada yang persoal boleh pula saya terbabit? Ingatkan sakit nak mati?” katanya.

Katanya, apabila lebih ramai orang tahu mengenai penyakitnya, dia percaya mereka akan terus bercakap dan adalah lebih baik tidak mendedahkan sepenuhnya.

Malah, ketika berita dia sakit mulai tersebar, dia mendapat banyak panggilan daripada media tempatan.

“Segelintir mereka selalu bertanya terus seperti sakit apa dan ‘stage’ berapa seolah-olah perkembangan saya tidak penting. Jadi saya ambil keputusan untuk berdiam diri sehinggalah ke hari ini,” katanya.

Ardell berkata, dalam tempoh tiga bulan ini dia tidak perlu lagi menjalani rawatan. Dia hanya akan menyambung rawatan pada Februari depan.

Bercerita mengenai kerjayanya, Ardell berkata, dia bersyukur kerana dalam tempoh berehat itu, masih ada syarikat produksi yang membuat tawaran kepadanya walaupun ia sekadar ‘job’ kecil.

“Syukur belum ada orang yang lupa dan masih ingatkan saya. Ada saja beberapa

‘job’ kecil, orang tak lupa sebab saya selalu saja kemas kini aktiviti di laman sosial.

“Ada juga pengurus produksi yang prihatin beritahu akan panggil semula sebaik saja saya sihat tetapi saya tak mahu ambil risiko kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini di lokasi penggambaran,” katanya yang mahu betul-betul berehat.

Ardell berkata, kali terakhir dia berlakon ialah menerusi drama Pengantin Musim Salju pada April lalu.

Katanya, ketika mengambil tawaran berlakon drama itu, dia beranggapan mampu melakukannya tapi selepas beberapa minggu, kesihatannya mula terganggu sehingga kadang-kadang mengganggu proses penggambaran.

Alami kemurungan

Disebabkan ada pihak mendedahkan keadaan kesihatannya, Ardell mengakui dia mengalami kemurungan.

Katanya, peminat mula mengetahuinya selepas seorang individu dipercayai salah seorang jururawat yang merawatnya menulis komen di Instagram Ardell.

Dalam komen itu, individu itu bercerita keadaan Ardell dan meminta peminat pelakon itu supaya mendoakan supaya dia tabah menjalani rawatan.

“Saya lambat setengah jam dan tidak sempat nak padam, komen itu terus tular. Dia menulis dengan agak terperinci dan mungkin dia sendiri tidak sangka boleh jadi sampai begini.

“Saya tak nafikan kadang-kadang ada segelintir jururawat yang kurang sensitif dengan mengambil gambar pesakit sebelum berkongsi di Internet. Pesakit perlukan masa rehat dan tidak mahu diganggu atau didedahkan,” katanya.

Akibat kemurungan, Ardel pernah mengalami penurunan berat badan sehingga 27 kilogram.

Antara punca lain membuatkan dia murung ialah apabila ada netizen mendakwa dia sudah tenat, lumpuh dan terpaksa berkerusi roda sedangkan ketika itu sedang menjalani rawatan.

Ardell mengakui proses rawatan dilaluinya sangat menyakitkan dan menyebabkan tubuhnya lemah.

“Kemurungan itu menyebabkan doktor terpaksa merawat saya di rumah dan saya perlu bergantung kepada ubat antidepresi.

“Orang ingat apabila sakit saja perlu terlantar atas katil pada hal saya juga perlu bekerja mencari wang dan kerana itulah saya ambil ‘job’ kecil seperti berlakon dalam video muzik untuk kawan baik saya Nazmi Adwa dan Devotees,” katanya.

Selain itu, dia tetap meneruskan aktiviti penjualan produk kecantikan dan tudung jenamanya seperti biasa.

Kekuatan daripada ibu, abang dan kakak ipar

Tanpa berselindung, Ardell berkata, sumber kekuatannya datang daripada ibu, abang dan kakak iparnya.

“Semasa saya dalam keadaan murung, saya sentiasa mengamuk sehingga pernah pecahkan cermin dalam bilik. Tapi abang, terutama kakak ipar sentiasa menjaga sehingga sanggup mengambil cuti tanpa gaji. Dia yang sediakan ubat, menjaga diet dengan memasak masakan khas untuk saya,” katanya.

Melihat kepada usaha mereka memberi sokongan, Ardell akhirnya sedar dia perlu bangkit dan cuba aktifkan diri termasuk kembali mengurus butik tudungnya.

Selain itu, dia turut turun padang menjalani sesi promosi filem XX Ray 3 arahan Aziz M Osman yang akan ditayangkan pada 24 Januari depan.

Bercakap mengenai filem rendisi ketiga selepas kejayaan XX Ray (1992) dan XX Ray 2 (1995), Ardell sangat teruja.

Apatah lagi dua filem terdahulu adalah filem kegemarannya dan bekerja di bawah arahan Aziz adalah impiannya.

Selain Ardell, XX Ray 3 turut dibintangi Izzue Islam, Adam John, Ashraf Muslim, Saiful Apek, Nonny Danirah dan Dazrin Kamarudin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 8:11 AM
Skip this ad x