ANTARA kapal karam yang dinaikkan di sekitar perairan Pengerang, Kota Tinggi, Johor.
Mohd Firdaus Ibrahim


KUALA LUMPUR: Tugas mengalihkan kapal karam amat berisiko tinggi bagi setiap penyelam jika tidak berhati-hati mereka boleh terbabit dalam kemalangan menyebabkan maut.

Namun upah lumayan sehingga RM700 sehari dianggap berbaloi buat penyelam profesional hingga sanggup berdepan pelbagai risiko ketika melakukan tugas berbahaya ini di bawah air.

Zekry Arif, 47, atau lebih dikenali dengan panggilan Zek Kunyit antara penyelam profesional yang pakar dalam tugasan berbahaya itu.

Dia yang mula aktif sebagai penyelam profesional sejak 10 tahun lalu melakukan tugasan diberikan dengan penuh berhati-hati kerana kesilapan kecil walaupun sesaat boleh membawa maut.

“Risiko memang ada dan itu yang kami kena tempuh setiap kali menyelam, kena ingat dalam kepala elakkan daripada melakukan kesilapan kerana nyawa menjadi taruhan.

“Sejak kecil memang saya sukakan cabaran, lagi bahaya lagi saya suka. Jadi kerjaya ini memang menjadi kegilaan walaupun sedar nyawa boleh melayang bila-bila masa saja,” katanya.

ZEKRY memastikan ciri keselamatan diambil perhatian sebelum menyelam.

Menurutnya, kapal dagang dan kapal pengangkut pasir berukuran sehingga 200 meter panjang yang karam berjaya dinaikkan semula ke permukaan selepas dia dan pasukannya bekerja keras selama lebih sebulan.

“Itu antara kapal terbaru yang berjaya kami naikkan pada Februari lalu selepas ia karam sekitar perairan Teluk Romania, Kota Tinggi, Johor,” katanya.

Lelaki berasal dari Pontian dan kini menetap di Pasir Gudang itu berkata, dia mendapat pendedahan mengenai pekerjaan itu selepas mengikut rakannya, Musa Abdul Hamid.

Katanya, dia aktif mengikut Musa melakukan pekerjaan itu ketika baru berpindah dari Klang, Selangor ke Pasir Gudang.

“Musa individu bertanggungjawab mendidik dan memimpin saya daripada kosong hinggalah bergelar pakar dalam bidang ini.

“Atas didikan Musa saya mengambil lesen menyelam, boleh kata pengetahuan saya dimiliki sekarang diajar oleh beliau,” katanya.

Selain usaha menaikkan semula kapal karam, dia dan lima lagi rakan sering dipanggil untuk memeriksa saluran paip di dasar lautan.

Antara tugasan dilakukannya bersama rakan setugas menanggalkan dan mengetatkan skru pada saluran paip serta kerja kimpalan di dalam air.

ZEKRY (tiga dari kiri) ketika bertugas bersama rakan.

Sebagai orang lama, dia menasihatkan orang muda yang berminat dalam pekerjaan itu agar komited dengan apa diusahakan.

“Laksanakan tugas dengan penuh amanah apabila diberikan tanggungjawab dan utamakan keselamatan.

“Ini bukan nasihat kosong sebaliknya amaran kepada semua yang mahu berkecimpung dalam bidang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 8:47 AM