PEGAWAI PERHILITAN merampas kambing gurun daripada pemburu di Gua Musang minggu lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Haiwan liar kambing gurun kerap dianggap sebagai ‘ibu duit’ bagi golongan peniaga ubat-ubatan tradisional.

Ini berikutan organ kambing gurun termasuk kepalanya boleh direndam berulang kali di dalam minyak kelapa sebelum dijual pada harga hingga RM50 sebotol.

Permintaan terhadap minyak kambing gurun yang didakwa boleh menyembuhkan 1,001 penyakit menyebabkan haiwan liar dilindungi itu menjadi buruan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia

Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, terbaru pihaknya menahan dua lelaki di Lojing, Gua Musang, Kelantan.

Menurutnya, suspek dipercayai melakukan kegiatan menjerat dan menyimpan hidupan liar dilindungi spesies kambing gurun.

“Serbuan dilakukan jam 1.30 tengah hari Ahad lalu oleh tujuh anggota PERHILITAN Kelantan.

“Pemeriksaan ke atas sebuah rumah kongsi milik syarikat perlombongan di kawasan itu menyaksikan dua lelaki berusia 30-an diberkas selepas mengaku menyimpan seekor kambing gurun yang sudah mati akibat dijerat,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman di Balai Polis Gua Musang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kambing gurun dewasa seberat lebih 50 kilogram itu dipercayai mahu digunakan untuk perubatan.

Ini adalah kes terbaru selepas dua lelaki ditahan menjual minyak kambing gurun kepada orang ramai di Jalan Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah awal tahun ini.

Penahanan dilakukan anggota PERHILITAN Kedah selepas mendapati dua lelaki terbabit menyimpan bahagian hidupan liar secara tidak sah termasuk kepala kambing gurun yang diletakkan dalam sebuah bekas plastik berisi minyak.

Kadir berkata, individu memiliki kambing gurun boleh didakwa mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 selain penjara tidak melebihi lima tahun.

“Sebarang aktiviti mencurigakan boleh disalurkan melalui talian PERHILITAN Hotline 1-800-88-5151 (Isnin- Ahad, 8.00 pagi – 6.00 petang) atau e-aduan melalui laman web Jabatan www.wildlife.gov.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 9:39 AM