TUJUH lelaki termasuk seorang pemandu bas dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan untuk tahanan reman selepas dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang arah timur, kelmarin. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


POLIS mengesahkan tindakan pemandu bas ekspres yang tidak mahu membayar penuh nasi lemak yang dibeli menjadi punca pertengkarannya dengan pelayan gerai sebelum berlaku pergaduhan di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang arah timur di Kuantan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal pihaknya mendapati pemandu bas ekspres berusia 32 tahun itu dikatakan hanya membayar RM1 yang mana harga nasi lemak yang dijual kepadanya berharga RM2.

“Berdasarkan keterangan pelayan gerai makanan di R&R itu, harga nasi lemak dijual adalah berharga RM3 manakala untuk pemandu bas, lori, dan pelanggan tetap, diskaun diberi iaitu dijual pada harga RM2.

“Pemandu bas ekspres itu hanya membayar RM1 menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 pagi kelmarin, video berdurasi 1 minit 49 saat memaparkan seorang lelaki berbaju dan berseluar hitam dipukul lima lelaki selepas berlaku salah faham antara mereka sebelum ia tular di media sosial.

Mangsa ditumbuk dan ditendang beberapa kali oleh kumpulan lelaki yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pemandu bas ekspres terbabit yang kononnya mengasari seorang pelayan kedai.

Terdapat dakwaan mengatakan mangsa tidak mengasari pelayan berkenaan yang juga adik kepada seorang lelaki yang memukul mangsa.

Mohamad Noor berkata, berdasarkan keterangan pelayan gerai terbabit, dia mendakwa dicekik, dipukul di bahagian belakang kepala dan ditendang sebelum membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat yang diterima polis menahan pemandu bas ekspres terbabit di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada 1.15 pagi tadi selepas dia tampil untuk memberi keterangan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan enam lagi suspek lelaki berusia 32 hingga 44 tahun di sekitar Kuantan dan Maran, malam tadi bagi membantu siasatan.

Katanya, semua suspek ditahan direman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Berita berkaitan

Pemandu bas ekspres dipukul di R&R [METROTV]

[UPDATE] 5 lelaki dikenal pasti

[UPDATE] Enam suspek serah diri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 12:57 PM