NORYN tidak asing dalam kalangan pengikut irama jazz di negara ini.
Ramlah Zainal


Nama penyanyi Noryn Aziz pastinya tidak asing dalam kalangan pengikut irama jazz di negara ini.

Selepas berumah tangga, penyanyi lagu Fantasi O Realiti ini memperlahankan aktiviti seni dan seakan tenggelam seketika.

Sekian lama menyepi, Noryn kembali menyemarakkan persada seni menerusi program realiti TV popular Gegar Vaganza tahun ini.

Ternyata, tuah menyebelahinya apabila menjuarai program Gegar Vaganza musim kelima (GV5), sekali gus namanya kembali meniti di bibir peminat.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Norazmahwati Abd Aziz, 42, mengakui dia sangat bersyukur dengan apa yang dikecapi saat ini.

“Saya sendiri tidak menyangka apa yang dikecapi sekarang.

“Lima tahun lalu, saya anggap karier nyanyian sudah pun berkubur bila tidak aktif dalam industri.

“Saya masih buat persembahan tetapi hanya untuk majlis korporat ketika itu.

“Namun, keputusan untuk menyertai program GV5 adalah platform terbaik untuk buat kemunculan semula dalam arus perdana,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan dia penyanyi eksklusif, Noryn berkata, sampai masanya untuk membuktikan kepada peminat dirilah penyanyi versatil dan bukan dikenali kelompok tertentu saja.

“Bila mahu menyertai GV5 sebelum ini, ada pihak mempersoalkan keputusan itu kerana menganggap saya sudah ada kelas tersendiri.

“Mungkin ramai tidak tahu saya sudah terbabit dalam bidang nyanyian selama 22 tahun tetapi peminat hanya tahu lagu Fantasi O Realiti yang dinyanyikan 20 tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Noryn, banyak ilmu dan pengalaman berharga ditimba sepanjang lapan minggu bersaing dalam program GV5.

“Ia bagaikan sekolah yang menguji kekuatan mental dan fizikal.

“Saya tidak kisah ada yang anggap GV platform untuk artis sendu kerana ia sudah terbukti dan bagaikan sekolah yang menguji kekuatan mental dan fizikal.

“Bila diberi peluang, saya hanya buat yang terbaik dan beri sesuatu yang berbeza kerana ada peminat beritahu mereka menonton GV5 kerana mahu tengok saya,” katanya.

Pada masa sama, Noryn percaya belum terlewat untuk kembali aktif menyanyi pada usia 42 tahun.

“Anak saya, Raja Bariq Umar Shah, 4, kekuatan dan sumber inspirasi dalam hidup saya.

“Pada usia sekarang, saya juga sudah cukup matang untuk buat apa saja keputusan dalam hidup,” katanya.

“Kini, saya berasa diri lebih dekat dengan Allah SWT dan apa saja ujian yang datang saya berserah kepada-Nya,” katanya.

Bercerita perkembangan karier nyanyian pula, Noryn berkata, dia sibuk dengan pembikinan album dan single terbaru.

“Sebenarnya, saya sudah selesai merakamkan tiga lagu genre pop iaitu Lepas, Aku dan diriku serta O..O dengan komposer terkenai Ajai sebelum GV5. Lagi dua lagu pula masih dalam proses pembikinan.

“Apa yang menarik, album baru ini ada sedikit sentuhan daripada Mc Chew dan menampilkan sepuluh peratus saya sebagai penyanyi jazz,” katanya.

Selain album, kata Noryn, dia juga merancang untuk berduet dengan Joe Flizzow.

“Selain mahu berduet dengan Joe, saya juga mahu bekerjasama dengan penyanyi dan komposer Awi Rafael untuk single baru nanti.

“Impian dalam karier seni pula pastinya saya mahu menghasilkan lagu yang bagus dan berjaya ke Anugerah Juara Lagu pula,” katanya.

Bakal gegarkan Konsert Soul Sisters

Selain album dan single baru, Noryn juga rancak melakukan persiapan Konsert Soul Sisters yang bakal berlangsung di pentas berprestij Istana Budaya pada 5 dan April depan.

Lebih menarik, Noryn bakal berkongsi pentas dengan dua penyanyi terkenal, Misha Omar, 36, dan Siti Sarah, 34, buat julung kalinya dalam konsert berskala besar itu.

Apa yang pasti, Konsert Soul Sisters terbitan Edd Razhe Entertainment itu bakal memperlihatkan sisi berbeza tiga penyanyi wanita berkenaan dalam bidang nyanyian.

“Saya sangat teruja untuk menjayakan konsert ini. Bersandarkan pengalaman lebih dua dekad, pastinya saya menjanjikan persembahan terbaik dan bertenaga nanti.

“Buat masa ini, kami bertiga sudah berbincang mengenai pemilihan lagu dengan juruvokal dan pensyarah muzik, Datuk Syafinaz Selamat,” katanya.

Noryn berkata, dia sudah memilih senarai lagu untuk disampaikan dalam konsert itu.

“Setiap penyanyi akan menyampaikan beberapa lagu solo masing-masing dan lapan lagu secara medley.

“Kalau boleh saya mahu pilih lagu sendiri. Contohnya, lagu dendangan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee, lagu Sudirman Haji Arshad dan lagu popular Jampi dendangan Hael Husaini yang boleh diberi sentuhan soul.

“Apapun, konsep sebenar dan pemilihan lagu untuk persembahan akan diputuskan Edd Razhe selaku penerbit konsert ini,” katanya.

Selain Syafinaz, konsert terbitan Edd Razhe Entertainment turut menampilkan bekas Penerbit Eksekutif Warner Music Malaysia, Datuk Nasser Abu Kassim selaku pengarah muzik.

Tiket konsert boleh didapati melalui www.airasiaredtix.com pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum) , RM255 (Gold) dan RM155 (Silver).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 6:30 AM