Linda kesal dengan layanan jururawat terhadap ibunya di hospital. FOTO IG Linda Rafar
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI Linda Rafar meluahkan rasa kecewa terhadap layanan buruk diberikan sekumpulan jururawat di sebuah hospital di Shah Alam yang menempatkan ibunya, Rasimah Abd Rahman, 73.

Linda, 40, atau nama sebenarnya Azlinda Rafar berkata, permintaan untuk membantu menukar cadar ibunya yang terkena najis tidak diendahkan dari jam 3 pagi hingga 1.30 petang semalam.

Disebabkan itu, Linda mengambil keputusan dengan membuat aduan dan berjumpa Pengarah dan Timbalan Pengarah Hospital pagi tadi, hari ini.

“Alhamdulillah, pertemuan pagi tadi positif dan mereka turut memanggil ketua jururawat wad berkenaan. Mereka memandang serius aduan ini dan akan menyiasat.

“Saya juga menyerahkan bukti berbentuk gambar dan video membabitkan jururawat terbabit kepada mereka untuk tindakan selanjutnya.

“Selepas pertemuan itu, mereka terus buat lawatan ke wad. Alhamdulillah, hari ini pesakit di wad itu mendapat layanan istimewa daripada jururawat bertugas. Masing-masing laju buat kerja,” katanya kepada Harian Metro.

Status yang dimuat naik Linda di Instagram Story semalam itu tular hingga mendapat pelbagai maklum balas pengikut.

Kebanyakan mereka berkongsi pengalaman dilalui membabitkan jururawat bertugas.

“Selama mak dalam wad, segalanya berjalan lancar. Ditambah pula saya turut mendapatkan khidmat pembantu bagi membantu kami adik beradik.

“Cuma semalam, saya hanya minta tolong untuk bantu tukar cadar yang terkena najis sebab tangan mak masih ada ‘wire’. Kalau ada bantuan daripada jururawat, ia lebih bagus. Sebab mereka lebih arif. Bukan suruh cuci najis pun. Tapi malangnya permintaan saya tidak diendahkan.

“Lebih kurang jam 1.30 petang baru ada yang datang dalam keadaan yang tak ikhlas sambil tendang pintu dan tong sampah. Apabila saya tularkan perkara ini, pandai pula perli saya. Saya berani kerana benar. Tidak kisahlah orang nak kutuk saya sekalipun,” katanya.

Menurut Linda, tindakannya itu sekali gus mewakili suara hati pesakit dan ahli keluarga yang menerima nasib sama seperti dirinya.

“Selama ini mungkin mereka tak tahu nak mengadu kepada siapa. Jadi, apa saya buat ini buat untuk mak saya saja, tetapi mewakili orang lain yang melalui pengalaman sama di wad itu.

“Sebelum ini pun, saya menyaksikan sendiri bagaimana jururawat berkelakuan kurang ajar dengan pesakit. Apabila ia terkena pada saya sendiri, ini cara terbaik untuk tegur sikap mereka

“Jangan ingat kami artis boleh diperlakukan macam itu saja. Kami juga manusia biasa, ada hati, perasaan dan tahap kesabaran,” katanya.

Dalam masa sama, Linda juga sudah membuat laporan polis di Bukit Aman berhubung ugutan diterima daripada seorang individu yang ingin meracun dan membunuh ibunya jika tidak berhenti daripada menularkan isu berkenaan.

“Saya buat laporan atas nasihat polis. Mereka juga akan buat siasatan berkenaan perkara ini.

“Paling penting sekarang, saya mahu jururawat berkenaan minta maaf secara terbuka di laman sosial masing-masing atau berjumpa saya dengan mengakui kesilapan mereka.

“Hari ini saya jumpa mereka lagi. Mungkin syif kerja mereka belum waktunya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 3:50 PM