UBAT khas dimasukkan ke dalam batang pokok.
Mohamad Hussin


KUALA LUMPUR: “Harga sebotol pati minyak gaharu bersaiz 12 milimeter (mm) boleh mencecah RM500 manakala bagi satu liter berharga RM41,000. Memang mahal kerana proses mengekstrak pati minyaknya bukan mudah.

“Biarpun mahal, tetapi permintaan sentiasa ada terutama dari negara Asia Barat. Cuma, masalahnya bekalan masih tidak mencukupi,” kata Ramli Harun, 67, usahawan minyak gaharu yang memiliki pengalaman selama 20 tahun dalam bidang itu.

Katanya, untuk mendapatkan ekstrak minyak gaharu berkualiti pokoknya perlu dicederakan menggunakan teknik tertentu atau disuntik bahan dipanggil inokulasi.

PROSES untuk mendapatkan teras dan kayu minyak.

“Lebih lama pokok ini sakit atau dijangkiti penyakit, maka kualiti minyaknya nanti menjadi lebih tinggi. Jika pokok lain memberi hasil apabila batangnya sihat, tetapi berbeza pula dengan pokok ini.

“Suntikan inokulasi biasanya dilakukan selepas pokok mencapai usia matang lima hingga 10 tahun ke atas dan mempunyai ukuran lilit pokok sekurang-kurangnya 15 sentimeter.

“Lubang selebar enam inci akan ditebuk pada batang pokok untuk menyuntik inokulasi. Jumlah lubang ditebuk bergantung kepada kelebaran dan tinggi pokok,” katanya ketika ditemui di Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah.

Ramli berkata, selepas setahun disuntik inokulasi, gaharu sudah terbentuk dan boleh ditebang untuk proses seterusnya iaitu mengekstrak pati minyak gaharu.

PROSES memasukkan suntikan ubat yang dibuat khas ke dalam pokok gaharu yang sudah ditebuk.

“Karas dalam batang pokok yang diserang penyakit akan menyebarkan sejenis minyak bagi melindungi bahagian terjejas dan lama-kelamaan akan membentuk gaharu.

“Ada dua kaedah digunakan untuk mencederakan pokok bagi mendapatkan hasil antaranya melalui teknik semula jadi (dipanah petir atau ditimpa pokok lain), menakik, mengikat batang menggunakan dawai atau suntikan inokulasi.

“Kaedah yang saya gunakan untuk cederakan pokok ini dinamakan inokulasi dan sudah terbukti dapat menghasilkan gaharu dengan cepat serta berkualiti,” katanya.

Menurutnya, penghasilan gaharu menerusi proses inokulasi adalah 90 peratus lebih berkesan berbanding kaedah semula jadi.

Jelasnya antara bahan digunakan bagi teknik inokulasi adalah gula merah, air gaharu dan beberapa bahan mentah organik lain.

Berikutan kekurangan stok Ramli terpaksa mendapatkan bekalan daripada pengusaha lain semata-mata mahu memenuhi permintaan daripada pelanggan.

Beliau berkata, ramai petani menanam pokok berkenaan namun majoriti tidak tahu batangnya perlu dicederakan bagi mempercepatkan proses pembentukan gaharu.

“Akibat salah faham ramai yang fikir hanya dengan menjual batang pokok ini mereka boleh dapat untung berganda. Berikutan itu mereka tidak mendapat hasil meskipun sudah menunggu lama.

“Setiap bulan kami dapat menghasilkan hanya dua liter setengah pati minyak sedangkan permintaan amat tinggi,” katanya yang mempunyai tiga kilang memproses minyak gaharu di Langkawi dan Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 7:48 AM