Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Nasib sepasang kanak-kanak kembar sindrom Down berusia dua tahun yang enggan dibesarkan ibu kandung mereka terbela selepas dua wanita sudi mengambil anak syurga ini sebagai anak angkat.

Malah, kehadiran orang baru berkenaan kena pada waktunya apabila kebetulan dua wanita terbabit kematian anak masing-masing yang juga menghidap sindrom Down pada 2015.

Raihan Kamaruddin, 40, dan Wati Hamzah, 40, sanggup menjadi ibu ganti kepada kembar berkenaan selepas ibu kandung asal kanak-kanak terbabit yang juga warga negara asing menawarkan hak penjagaan dua beradik itu kepada keluarga angkat.


SEPASANG kembar sindrom Down, Orked dan Dahlia kini dijaga dua keluarga selepas ibu kandung mereka tidak mampu membesarkan dua anak ini.

Bagi dua wanita ini keadaan dua bayi berkenaan diberi nama Orked Diyan Naahila dan adiknya, Dahlia Diyani Naa’ira yang menghidap sindrom Down bukan masalah besar kerana mereka bersyukur mendapat pengganti berikutan zuriat sendiri meninggal dunia ketika masih bayi.

Mereka juga sanggup menjaga kembar istimewa ini meskipun dua beradik berkenaan disahkan menghidap pelbagai komplikasi seperti masalah usus, tidak boleh membuang najis secara normal dan sakit jantung.

Malah, mereka juga berjaya menyelamatkan bayi berkenaan yang khabarnya sebelum ini mahu dijaga sebuah institusi agama bukan Islam selepas tawaran menyerahkan mereka kepada keluarga angkat tular di media sosial.


WATI bersama Orked dan Dahlia.

Raihan berkata, dia kematian anak kandung yang juga sindrom Down, Jasmin Nur Qomar Ahmad Nazri pada September 2015 akibat komplikasi jantung.

“Sejak itu saya, suami Ahmad Nazri Md Rejab, 41, dan anak sulung Ahmad Hafiy Haizen, 9, sering terkenang kepada Jasmin dan terasa hidup kami kosong.

“Sehinggalah tular mengenai seorang wanita warga asing yang mahu menyerahkan sepasang kembar sindrom Downnya kepada orang untuk dijaga,” katanya kepada Harian Metro.

Raihan yang menetap di Ipoh, Perak berkata, pada mulanya dia belum bersedia untuk mencari ‘pengganti’ arwah anaknya sehinggalah dua rakannya daripada kumpulan sokongan anak sindrom Down, Bunga-bunga Syurga menghubunginya supaya melihat terlebih dulu pasangan kembar berkenaan.

“Tidak tahu macam mana tergerak hati untuk melihat kembar berkenaan. Pada 16 September 2016, saya mengajak suami dan anak ke sebuah rumah perlindungan di ibu kota yang menempatkan pasangan kembar ini.


WATI bersama Orked yang berusia dua tahun.

“Sebaik melihat mereka, saya terus jatuh hati dan teringat kepada arwah anak, malah ibu kandung kembar berkenaan berusia 45 tahun ketika itu memujuk supaya mengambil mereka.

“Bagaimanapun, berikutan kurang kemampuan, saya hanya dapat mengambil seorang dan memutuskan mengambil Dahlia sebagai anak angkat. Hari yang sama kami bawa pulang Dahlia ke Ipoh dalam keadaan ibunya memberi sehelai sepinggang kepada kami, mujurlah ada pakaian arwah anak untuk dipakaikan kepada Dahlia,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pembantu am di sebuah syarikat guaman berkata, kehadiran Dahlia betul-betul mengubat duka mereka sekeluarga dengan kehilangan anak tercinta.

“Walaupun Dahlia mempunyai penyakit usus dan sukar untuk membuang najis secara normal, namun kami tidak kisah kerana ini amanah Allah ditugaskan kepada kami.

“Anak lelaki saya, Ahmad Hafiy sangat sayangkan Dahlia malah ketika pembedahan usus dilakukan dia yang paling risau kerana tidak sanggup lagi kehilangan adik tercinta.

“Alhamdulillah Dahlia kini membesar dengan baik dan menjadi penawar kerinduan kami kepada arwah anak, malah saya dan rakan, Wati kerap menemukan pasangan kembar ini,” katanya.


AHMAD Hafiy berdoa untuk adiknya, Dahlia ketika pembedahan usus dilakukan.

Raihan berkata, aturan hidupnya oleh Allah sangat baik apabila Dahlia seolah-olah jelmaan arwah anaknya dengan rupa dan perangai yang sama.

“Begitu juga dengan nama, kebetulan sebaik saya mengetahui nama diberi ibu kandungnya adalah nama bunga sama seperti arwah, saya bersyukur dan semoga proses pengambilan anak angkat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dipermudahkan Allah,” katanya.

Bagi Wati, kehadiran Orked sebagai pengubat kerinduan kepada arwah anaknya, Nor Aryana Iyzarah Norizan yang meninggal dunia tiga hari selepas Jasmin akibat penyakit leukemia.

“Anak saya juga menghidap sindrom Down dan saya perlu akui kehadiran Orked seolah-olah pengganti arwah anak.

“Rasa sayang dan kasih kepada Orked begitu menebal walaupun kami tahu dia mempunyai komplikasi jantung dan memerlukan rawatan rapi. Tapi kami sekeluarga tidak kisah kerana rasa tanggungjawab dan sayang mengatasi segalanya,” katanya yang menetap di Melaka.

Menurutnya, dia mengambil Orked secara rasmi pada 8 Mei lalu dan sering membuat panggilan video kepada Raihan supaya Orked serta Dahlia tidak terputus hubungan.

“Walaupun jarak kami jauh, namun ikatan adik beradik mereka tidak boleh diputuskan. Disebabkan itu kadang-kadang saya ke Ipoh atau menemukan mereka setahun sekali melalui Majlis Kasih Mesra Bunga-bunga Syurga.

“Misalnya, pada 15 Disember lalu di Port Dickson kami turut menemukan mereka dan keletah mereka begitu menghiburkan hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 11:01 AM