PEMUDA warga Malaysia berusia 23 tahun yang cuba menyeludup dadah syabu seberat 15 kilogram di Tanjung Balai, Indonesia.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Safeek Affendy Razali


KUALA LUMPUR: Berlumba-lumba menyeludup dadah ke negara jiran Indonesia bagi memenuhi permintaan tinggi sempena sambutan

tahun baru 2019 dari kaki gian di negara berkenaan.

Keldai dadah warga Malaysia dipercayai mengambil kesempatan berkenaan untuk mengaut untung dengan menerima upah lumayan menyeludup masuk terutama syabu ke Indonesia sama ada menggunakan perkhidmatan penerbangan atau feri.

Sumber Bukit Aman berkata, ketiadaan kemahiran menghasilkan dadah serta kesukaran memperoleh bahan asas menghasilkan dadah syabu atau methamphetamine di Indonesia menyebabkan pengedar di sana lebih gemar mengimportnya dari Malaysia.

“Malah, bilangan pengguna dan pasaran besar di Indonesia menyebabkan sindiket sanggup mengambil risiko menghantar dadah ke negara jiran itu menggunakan pelbagai taktik sama ada jalan laut atau udara.

“Difahamkan dadah syabu bernilai sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sekilogram di Malaysia boleh meningkat nilainya sehingga RM500,000 (1.7 bilion Rupiah) sebaik tiba di negara jiran itu,” katanya.

Menurutnya, keuntungan tinggi itu menyebabkan sindiket masih meneruskan kegiatan dan cuba menyeludup sebanyak mungkin syabu apatah lagi menjelang sambutan tahun baru 2019.

Terbaru, Isnin lalu seorang lelaki warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, Indonesia selepas cuba menyeludup dadah syabu seberat 2.8 kilogram.

“Suspek berasal dari Miri, Sarawak mendakwa menerima upah RM3,000 untuk menyeludup dadah dengan menggunakan khidmat penerbangan tambang murah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Semua dadah itu dikesan disembunyikan suspek di dalam beberapa bekas berisi makanan ringan kentang sebelum diletakkan di dalam bagasi.

“Suspek mengaku dadah dibawa itu untuk ‘tempahan’ menjelang sambutan tahun baru,” katanya.

Sementara itu, pada 20 Disember lalu, seorang lelaki warga Malaysia ditahan pihak polis di Tanjung Balai, Sumatera, bersama dua individu lain.

Suspek berusia 23 tahun dan berasal dari Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang, Selangor dikesan cuba menyeludup syabu seberat 15 kilogram.

Dua hari sebelum itu seorang lagi lelaki warga Malaysia berusia 50 tahun ditahan ketika menaiki sebuah kereta di Pekan Baru, Riau, Sumatera.

“Suspek ditahan selepas cuba menyeludup dadah syabu seberat dua kilogram yang disembunyikan di dalam paket teh berasal dari China,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali mengesahkan penahanan seorang ahli perniagaan warga Malaysia di Bali, Indonesia atas kesalahan menyeludup dadah awal 15 Disember lalu.

Suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai minggu lalu bersama sebuah beg mengandungi hampir 15 gram marijuana dan 11 pil ekstasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 11:00 AM