LAPORAN Harian Metro 15 November lalu.
Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) untuk pelancong China masuk Malaysia ditutup sementara waktu bermula Januari 2019.

Dalam kenyataan disiarkan di www.windowmalaysia.my yang hanya boleh dilayari dari luar negara mengumumkan penutupan eNTRI berkuat kuasa 1 Januari 2019 sehingga pengumuman seterusnya.

Pengumuman itu juga memaklumkan pemohon yang melengkapkan pendaftaran eNTRI sebelum 31 Disember masih boleh memasuki Malaysia dengan syarat Nota eNTRI masih sah.

Pemegang eNTRI bagaimanapun diperiksa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di pintu masuk Malaysia yang memutuskan sama ada memberi atau menolak kemasukan atas sebarang sebab menurut undang-undang Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali ketika dihubungi enggan mengulas perkara berkenaan sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memberikan komen.

Dalam perkembangan sama, usaha wartawan mendapatkan ulasan daripada pengendali tunggal sistem eNTRI iaitu syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) juga gagal.

Bermula 14 November lalu Harian Metro melaporkan kemudahan eNTRI untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari didapati tidak menepati matlamatnya sebagai sistem saringan atau tapisan awal, sebagaimana diuar-uarkan.

Sebaliknya, kemudahan itu dikesan sekadar menyalurkan wang secara mudah kepada UKSB yang diberi hak eksklusif oleh KDN untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang.

UKSB yang diberi akses penuh mengeluarkan eNTRI dikatakan membolot semua hasil kutipan fi iaitu RMB160 atau RM100 bagi satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.

Malah, urusan permohonan eNTRI secara dalam talian dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit dan aspek keselamatan negara nyata diabaikan apabila individu disenarai hitam serta ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk ke negara ini.


LAPORAN Harian Metro 16 November lalu.

Kegagalan sistem berkenaan sebagai alat tapisan keselamatan awal terbukti dengan kejayaan wartawan mendapat kelulusan walaupun menggunakan foto beruk, alamat palsu (Ibu Pejabat SPRM Putrajaya), tiket penerbangan palsu dan pasport disenaraihitamkan.

Ketirisan itu terbongkar hasil maklumat disalurkan kepada Harian Metro oleh sumber boleh dipercayai dan wartawan akhbar ini berada di Guangzhou selama beberapa hari untuk memperoleh maklumat lebih terperinci.

Berikutan isu itu, KDN dalam satu kenyataan menyatakan sedia mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk menaik taraf sistem imigresen sedia ada sebelum membangunkan sistem baharu lebih efisien dalam memastikan perkhidmatan disediakan lebih cekap, selamat dan menjimatkan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik berkata, pada masa ini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pelbagai dakwaan penyelewengan membabitkan beberapa syarikat konsesi yang mendapat hak mengendalikan sistem imigresen.

Menurutnya, KDN tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak jika terdapat bukti mengenai kelemahan atau penyelewengan di dalam pelaksanaan sistem ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 10:00 AM