GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@nstp.com.my


HARGA runcit petrol RON97, RON95 dan diesel dikekalkan buat masa beberapa hari ini, pada paras RM2.50 seliter bagi RON97, RM2.20 seliter bagi RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama 2019.

Menurutnya, Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit dan pada masa sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

"Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna memperolehi manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

"Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 5:12 PM