NURUL Ain bersama anaknya, Nur Adriana Aqilah (kiri), Mohd Izz Darwisy dan Nur Aurora Darmaya.
Rizalman Hammim


PASIR GUDANG: Siapa sangka pemeriksaan di sebuah hospital swasta selepas batuk tidak berhenti membawa kepada penemuan penyakit yang lebih serius kepada Nur Adriana Aqilah Mohd Fairuz.

Ibu kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu, Nurul Ain Zakaria berkata, dia membawa anak perempuannya ke hospital awal bulan lalu selepas dia mula batuk tidak berhenti dua minggu.

“Saya bimbang anak mungkin mempunyai penyakit tibi, tetapi doktor mendapati dia mempunyai ketumbuhan dalam hidung yang memerlukan pembedahan.

“Ketika ujian, doktor juga mendapati ada yang tidak kena dengan sistem sarafnya dan mereka menjalankan lebih banyak ujian serta sedang menunggu masa sesuai untuk mengambil cecair daripada tulang belakangnya,” katanya yang tinggal bersama ibu bapanya di Taman Air Biru, dekat sini.

Ibu tunggal itu berkata, Nur Adriana akan mengalami kejang otot dan sering lemah badan selain kadang kala hilang ingatan.

Memburukkan lagi keadaan Nurul Ain, anak perempuan bongsunya, Nur Aurora Darmaya Amirul Amri, berusia empat bulan juga menghidap hypertonia.

“Saya terpaksa menjaga sepenuh masa anak menyebabkan tidak boleh bekerja. Sebelum ini saya bekerja di sebuah kilang, tetapi terpaksa mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) Februari lalu,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak lelaki, Mohd Izz Dar-
wisy Mohd Fairuz, 8.

Katanya, dia kini bergantung kepada bantuan bulanan RM1,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selain itu, Nur Aurora juga memerlukan susu formula bayi khas yang berharga RM600 sebulan,” katanya selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas Datuk Che Zakaria Mohd Salleh yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan keperluan harian.

Che Zakaria berkata, Yayasan Pasir Gudang akan membantu keluarga berkenaan dengan perbelanjaan dan rawatan kedua-dua kanak-kanak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 7:51 AM