MUHAMMAD Azwar Mohd Ariff, 12, masih lagi boleh tersenyum walaupun keadaannya lemah dan pucat selepas rawatan kimoterapi. FOTO Ihsan Che Anisah Md Saad
Noorazura Abdul Rahman


“AZWAR nak ke sekolah tapi doktor masih tak benarkan kerana keadaannya yang lemah selepas jalani kimoterapi,” kata Che Anisah Md Saad, ibu kepada Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah.

Che Anisah, 43, berkata, semangat untuk ke sekolah tidak pernah luntur di dalam jiwa anaknya, Muhammad Azwar Mohd Ariff, 12, biarpun sedang menjalani rawatan akibat ketumbuhan di kepala.

Katanya, selepas menjalani tiga rawatan kimoterapi, keadaan anaknya itu bertambah baik, namun lemah akibat kesan rawatan berkenaan.

“Seminggu dua kali saya perlu membawanya ke Hospital Sik untuk pemeriksaan darah, manakala sebulan sekali ke Hospital Pulau Pinang. Esok doktor akan buat pemeriksaan mata sekali lagi terhadap Azwar.

“Mengikut doktor, pihaknya akan memohon kad orang kurang upaya (OKU) kepada Azwar sekiranya keadaan matanya terus kabur terutama mata kiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun Anisah berkata, keadaan itu tidak menjadi penghalang kepada Azwar untuk membaca al-Quran.

Katanya, setiap hari Azwar akan menghafal surah-surah yang mudah untuk diingati selain mendengar menerusi radio al-Quran digital.

“Radio itu dihadiahkan oleh guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sik, dia akan cuba mengikut bacaan dalam radio dan menghafalnya, Alhamdulillah ia sedikit sebanyak membantu menaikkan semangat Azwar.

“Dia pernah cakap untuk terus menghafal al-Quran dan belajar di sekolah pondok berdekatan sahaja kerana tidak mahu berpisah dengan keluarga jika keadaan matanya tidak pulih,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Azwar disahkan mengidap ketumbuhan di kepala yang menyekat pengaliran air ke tulang belakang dan doktor sudah melakukan pembedahan untuk menebuk bahagian itu bagi mengeluarkan air, Oktober tahun lalu.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah lalu, Azwar yang hadir berkerusi roda menjadi antara penerima anugerah yang disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Berita berkaitan

Dulu johan Tilawah al-Quran, kini...

'Terima kasih doakan kesembuhan Azwar' [METROTV]

'Allah SWT sayangkan Azwar'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 9:53 AM