PENYANYI, Jasper Supayah. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Norhayati Nordin


WALAUPUN perlu berdepan saingan sengit untuk memahat nama dan bakat dalam industri hiburan tanah air, pelakon dan penyanyi, Jasper Supayah, 26, enggan mengalah dengan mudah.

Jasper yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 2016 berpegang teguh dengan prinsip takkan sesekali menoleh ke belakang sekali gus mengundur daripada persaingan.

Menurutnya, walaupun menghadapi laluan berliku dalam usahanya menjual bakat, ia tidak boleh dianggap sebagai halangan.

“Selepas tiga tahun, saya sedar apa saja halangan dan cabaran yang datang, saya harus akur menghadapinya tanpa perasaan gentar. Impian saya sekarang adalah berusaha hingga berjaya untuk mendapat peluang memegang watak utama dalam drama.

“Saya sudah bersedia menggalas tanggungjawab membawa watak heroin drama,” katanya.

Ditanya pernahkah dia ditawarkan watak heroin, Jasper berkata, dia pernah mendapat tawaran sedemikian tetapi rezeki belum berpihak kepadanya.

“Alasan yang sering saya dapat ialah watak itu tidak sesuai. Pada saya, peluang perlu diberikan terlebih dulu untuk mencubanya. Ini tidak, belum lagi saya mencuba tetapi jawapannya sudah diketahui. Situasi dilalui itu diakui membuatkan saya sedikit kecewa dan sedih.

“Namun, itu tidak bermakna saya akan putus asa. Barangkali saya perlu lebih gigih belajar mempersembahkan lakonan terbaik untuk mendapatkan peluang berkenaan pada masa akan datang.

“Seiring dengan kedatangan 2019 ini, azam utama saya ialah untuk membawa watak heroin,” katanya.

Gadis manis berasal dari Johor ini berkata, dia yakin mampu menggenggam peluang itu kerana memiliki pakej penampilan menarik dan potensi bakat untuk digilap.

Menurut Jasper, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha kerana dia pernah melalui pengalaman menganggur beberapa bulan kerana tidak mendapat tawaran berlakon.

Jasper yang juga pelakon filem Polis Evo 2 berkata, pembabitannya sebagai pelakon baru dalam filem itu banyak membantu namanya semakin mendapat tempat dan dikenali.

Selain itu, Jasper juga pernah membintangi drama seperti Cinta Non Grata, Patah Sayap Bertongkat Paruh, Cinta Praktikal dan Kipas Belum Mati.

FOKUS KARIER, CINTA NANTI DULU

DI SEBALIK semangat berkobar-kobar untuk memantapkan karier seninya, Jasper juga tidak berselindung mengakui dia baru putus cinta.

Hubungan cinta dibina dengan kekasih hati sejak beberapa tahun bersama gagal diselamatkan dan terkandas di tengah jalan.

“Saya kini masih lagi dalam ‘mood’ sedih yang bersisa kerana baru putus cinta. Selepas sekian lama bersama, hubungan cinta dijalin itu memang tidak dapat diselamatkan.

“Namun, hidup perlu diteruskan dan saya sangat bersyukur kerana sejak hujung tahun lalu hingga sekarang, jadual memang sibuk di lokasi penggambaran.

“Jadi, secara tidak langsung saya memang tak ada masa untuk memikirkan kekecewaan dan luka di hati. Ternyata kesibukan kerja menjadi terapi terbaik saya untuk bangkit dan bersemangat semula,” katanya.

Enggan berkongsi nama bekas kekasihnya itu, Jasper berkata, buat apa dia mahu terus mengingati individu yang sudah tidak bersama dengannya.

Kini, fokus utama hanya pada karier lakonan dan nyanyian.

Mengulas juga mengenai karier nyanyian, Jasper berkata, hingga sekarang dia tidak pernah melupakan bakat itu kerana menyanyi juga menjadi minatnya.

“Minat saya pada nyanyian tidak pernah pudar. Malah, jika tidak ada aral, saya akan menghasilkan single solo pertama sekitar tahun ini. Kini, lagu pun dalam proses disiapkan,” katanya.

Meminati genre balada, Jasper berkata, dia mahu memastikan karier lakonan dan nyanyiannya dapat bergerak seiring seperti diharapkan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 6:00 AM