Azar dapat kepercayaan untuk bawa watak Juita dalam Nur 2. FOTO NSTP
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


PELAKON meningkat naik, Azar Azmi mengakui gembira apabila diberikan kepercayaan untuk menggalas watak antagonis sebagai Juita dalam drama Nur 2.

Dengan nama sebenar, Siti Azar Ameerah Azmi berkata, dia rasa gementar kerana ini adalah kali pertama dia berlakon di bawah arahan Shahrulezad Mohameddin serta seluruh pelakon yang membintangi drama berkenaan.

"Alhamdulillah, saya diberikan kepercayaan untuk melakonkan watak Juita. Saya tahu perkara itu semalam. Saya memang terkejut dan pada masa sama gementar.

"Ini adalah kali pertama saya berlakon dengan pengarah dan produksi. Malahan, sebelum ini pun saya tidak pernah berganding dengan mana-mana pelakon yang membintangi drama Nur.

"Melihat pada penangan Nur tahun lalu, perkara itu juga membuatkan saya agak risau kerana peminat cerita itu mempunyai harapan tinggi terhadap watak Juita," katanya.

Bercerita mengenai wataknya, kata Azar, ia agak berlainan dari antagonis pernah dilakonkannya sebelum ini. Karakter Juita agak mencabar kerana perubahan emosi yang terlalu pantas.

"Walaupun saya kerap menerima watak antagonis tetapi yang ini lain. Dia jahat tetapi tak nampak begitu. Berdasarkan apa yang saya baca, dia kelihatan seperti ikhlas mahu berkawan dengan Nur tetapi pada masa sama mahu kenakan wanita itu.

"Saya perlu kerja keras untuk timbulkan persoalan dalam diri penonton mengenai motif sebenarnya Juita. Apa pun, saya akan buat yang terbaik," katanya.

Sebelum ini, pengarah Shahrulezad bercadang untuk memberikan watak itu kepada Nelydia Senrose atau Nabila Huda.

Bagaimanapun, atas sebab tertentu mereka tidak dapat menjayakan drama berkenaan.

Drama Nur 2 masih mengekalkan pelakon asal iaitu Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Raja Atiq, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Noorkhiriah dan Azhan Rani.

Drama itu dijangka ditayangkan pada April depan, mengisi slot Samarinda yang menemui penonton pada jam 10 malam, Isnin hingga Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 2:35 PM