KENYATAAN Mohamad mengenai penahanan anak lelakinya yang dimuat naik di akaun Facebooknya.
Nurul Hidayah Bahaudin


MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung penahanan anak lelakinya yang didapati positif ganja, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penahanan anaknya oleh pihak polis dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Saya sudah dimaklumkan penahanan anak saya, Ahmad Saiful Islam Mohamad oleh pihak polis, hari ini.

“Susulan penahanan ini, saya dan keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak berdasarkan proses undang-undang sedia ada.

“Anak saya sama seperti anak orang lain juga tertakluk kepada proses undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan anak lelaki menteri ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 3 pagi.

Difahamkan, lelaki berusia 31 tahun bersama seorang rakan berusia 33 tahun sedang berhibur ketika operasi dijalankan dan ujian saringan air kencing mendapatinya positif dadah jenis ganja.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis, petang tadi dan soal siasat dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita berkaitan

[UPDATE] Anak menteri dibebaskan

Anak menteri 'kantoi' ganja

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 9:20 PM