Ahmad Rabiul Zulkifli

KUALA TERENGGANU: Musim tengkujuh selain fenomena ribut tropika Pabuk yang melanda negeri ini membuatkan harga ikan naik, sekali gus menyebabkan kemerosotan perniagaan bahan basah itu di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP).

Tinjauan Harian Metro ke pasar itu mendapati kawasan jualan ikan di PBKP lengang, malah ikan yang dijual lebih 20 peniaga di situ tidak mendapat sambutan menggalakkan seperti biasa.

Asri Zakaria, 50, dari Kampung Seberang Takir berkata, fenomena alam yang berlaku sejak awal November tahun lalu memberi kesan terhadap harga ikan di negeri ini.


ASRI (kanan) melayan pelanggan membeli ikan di gerainya. -Foto IMRAN MAKHZAN

“Sebagai peniaga, kami mengharapkan sokongan pelanggan, justeru, tidak timbul isu harga ikan itu sengaja dinaikkan untuk mengambil kesempatan terhadap pelanggan.

“Peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan kerana sedia maklum kesan yang akhirnya merugikan kami sendiri. Harga ikan yang dijual itu bergantung kepada harga pasaran semasa berdasarkan harga jualan peraih ikan kepada kami.

“Kami hanya mengambil untung sekitar 50 sen hingga RM1 untuk sekilogram (sekg) dan ia sesuatu yang wajar serta tidak menindas pelanggan,” katanya ketika ditemui di PBKP di sini, semalam.

Asri berkata, tidak semua pelanggan yang memahami situasi harga ikan pada musim tengkujuh, justeru, dia terpaksa memberi penerangan kepada pelanggan yang merungut dengan harapan perniagaan ikan di PBKP terus mendapat sambutan.

“Paling mendapat sambutan setiap kali jualan ialah ikan kembung, namun ikan itu kini berharga RM18 hingga RM20 sekilogram berbanding harga biasa sekitar RM14 sekilogram.

“Jika diikutkan ikan merah juga ada kenaikan iaitu RM32 sekilogram berbanding RM30 sekilogram pada akhir tahun lalu. Bagaimanapun atas budi bicara peniaga, ia tetap dijual dengan harga RM30 sekilogram,” katanya.

Mustafa Abu Bakar, 60, dari Kampung Gong Badak berkata, bekalan ikan segar semakin berkurangan berikutan ramai nelayan tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan.

“Peniaga terpaksa mengharapkan bekalan ikan sedia ada, selain ikan sejuk beku untuk dijual kepada pelanggan pada musim tengkujuh.

“Terpualng kepada pelanggan sama ada ingin membelinya atau tidak kerana bekalan ikan berkurangan menyebabkan harga ikan juga meningkat dan ia sudah menjadi tradisi pada setiap tahun pada musim tengkujuh,” katanya.

Menurutnya, dia sudah berniaga ikan lebih 10 tahun di PBKP dan sentiasa mengalami keadaan turun naik dalam perniagaannya itu, justeru tidak berasa pelik sekiranya kekurangan sambutan kerana faktor harga ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 8:04 AM