Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bh.com.my


SULTAN dan Raja-raja mulai berkumpul di Istana Negara, hari ini dipercayai menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-raja bagi membincangkan soal pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

Ia susulan Sultan Muhammad V mengumumkan peletakan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa serta merta, semalam.

Antara kenderaan rasmi yang dilihat memasuki Istana Negara adalah kenderaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bersama kenderaan pengiring serta polis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam kenyataan semalam berkata, peletakan jawatan baginda itu selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong, Ketua Negara baharu perlu dipilih untuk negara.


KENDERAAN rasmi membawa Dr Mahathir memasuki perkarangan istana. FOTO Hairul Anuar Rahim

Mengikut amalan, Yang di-Pertuan Agong dipilih berdasarkan sistem penggiliran setiap lima tahun mengikut negeri.

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, namun takhta baginda kini dipangku anaknya Tengku Abdullah.

Jika Majlis Raja-raja tidak boleh memilih Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu, giliran seterusnya adalah Johor yang diperintah Sultan Ibrahim Iskandar.

Bagaimanapun, Seksyen 1 Bahagian I Jadual Ketiga Perlembagaan menyebut syarat seseorang Raja akan dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ialah dewasa, tidak menolak untuk dipilih selain tidak ditolak Majlis Raja-raja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 11:53 AM