AZAR sedikit pun tidak bimbang terhadap pandangan umum.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Kerap melakonkan watak antagonis, pelakon kian popular Azar Azmi sedikit pun tidak bimbang terhadap pandangan umum. Dia berterima kasih kepada pengarah, produksi dan stesen televisyen yang memberikan peluang kepadanya untuk berkarya.

Kembara seninya bermula pada 2010. Namun, kehadirannya dalam industri hanya disedari kebelakangan ini. Terbaru, Azar turut menjayakan siri Pujaan Hati Kanda sebagai Fatimah.

Peminatnya sudah tidak sabar menonton lakonannya yang bakal memporak-perandakan hubungan Danny dan Tiara. Keadaan semakin panas apabila Azar disahkan sebagai pelakon yang memegang watak Juita dalam siri Nur 2.

“Saya tidak rasa bimbang pun dengan pandangan penonton. Walaupun dibenci setiap kali menjayakan watak antagonis, saya tidak kisah. Kalau penonton marah-marah, itu tandanya lakonan saya menjadi.

“Kalau pun selepas ini lebih banyak diberikan kepercayaan melakonkan watak jahat, saya anggap ia rezeki dan bersyukur kerana semakin ramai yang melihat serta menghargai bakat saya,” katanya.

Bercerita mengenai pemilihannya sebagai Juita, Azar berkata dia tidak sangka namanya menjadi pilihan sedangkan dua nama yang disebut-sebut iaitu Nelydia Senrose dan Nabila Huda jauh lebih hebat berbanding dirinya.

Walau ada debaran di jiwa, Azar berjanji akan menterjemahkan watak itu dengan baik. Dia tidak mahu mencacatkan drama yang hangat diperkatakan sepanjang tahun lalu.

“Ketika pengarah kongsikan di laman sosial mengenai pemilihan pelakon untuk watak Juita, ramai yang teruja. Apabila terpilih, saya gementar kerana ramai meletakkan harapan tinggi terhadap saya.

“Saya sebenarnya gembira kerana diberikan kepercayaan untuk membawakan watak Juita tapi pada masa sama sangat gemuruh. Ini pengalaman pertama bekerjasama dengan pengarah, produksi dan pelakon Nur.

“Semuanya hebat belaka, saya pula wajah baru yang masih mencari tempat dalam industri. Memang tak senang duduk dibuatnya,” kata pemilik nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi.

Meski mengikuti drama itu tahun lalu, Azar bagaimanapun berkata, dia akan menonton cerita itu sekali lagi bagi memastikan emosi daripada Nur musim pertama dapat dikekalkan.

“Saya ada tonton tapi bukan setiap episod kerana terbabit dengan penggambaran. Mana yang sempat, memang saya akan duduk depan TV dan tonton sampai habis.

“Demi menjayakan watak Juita, saya akan tonton kembali setiap episod Nur musim pertama agar dapat memahami keseluruhan cerita dan mengekalkan kesinambungan emosi yang dibawa setiap pelakon. Diharap, watak Juita mampu membuatkan penonton geram sama seperti watak lakonan Noorkhiriah dan Azhan Rani,” katanya.

Menempa nama dalam bidang seni agak lambat berbanding rakan, bekas finalis Dewi Remaja 2001 ini sedikit pun tidak berasa ralat dengan situasi itu.

Kata Azar, dia sendiri membuat keputusan untuk memperlahankan langkah dalam bidang seni kerana ketika itu dia ingin fokus berniaga.

Namun, melihat kejayaan rakannya seperti Izara Aishah, Neelofa, Syatilla Melvin dan Anzalna Nasir, hatinya diketuk perasaan rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran.

“Saya tidak ada rasa kesal pun berehat seketika satu masa dulu. Semua itu perjalanan yang Allah SWT sudah atur.

“Walaupun memulakan kerjaya lakonan sebelum menyertai Dewi Remaja, saya gembira kini semuanya berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 6:00 AM