FAZURA teringin jumpa Rajinikanth. FOTO/NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Bukan saja cantik, keperibadiannya yang mudah mesra membuatkan pelakon dan penyanyi Nur Fazura terus diminati ramai sehingga ke hari ini.

Kemunculan isteri kepada pelakon Fattah Amin itu sering dinanti dan menjadi tumpuan peminat apabila menghadiri apa saja acara termasuk sebagai tetamu kehormat majlis pelancaran filem Petta lakonan Rajinikanth baru-baru ini.

Dalam pertemuan bersama media, bintang terkenal berusia 36 ini mengakui merangka pelbagai agenda menarik berkaitan karier seni sepanjang tahun ini.

“Banyak perancangan sebenarnya tetapi saya tak boleh bercerita lebih-lebih kerana tidak tahu apa apa yang akan jadi esok hari.

“Kita tak tahu ketentuan Allah SWT kerana kalau kita rancang tiba-tiba tak jadi, saya yang akan malu sendiri.

“Nanti ada pula yang cakap Fazura ‘propa’ dan sebagainya. Insya-Allah, saya akan maklumkan satu persatu apa yang dirancang bila sampai masanya nanti,” katanya.

Fazura berkata, dia memilih untuk jujur berkongsi perkembangan terkini dengan semua pihak.

“Ya, saya janji akan beritahu semua. Kalau ada berita itu juga (hamil), saya janji akan maklumkan pada masa sesuai. Doakan saya.

“Saya dan Fattah amat menghargai perhatian semua pihak terhadap kami. Syukur kerana semuanya sayangkan kami.

“Tak dinafikan ada juga yang membenci tetapi kami bersyukur kerana ramai menyayangi kami,” katanya.

Desas-desus Fazura mengandung mula hangat diperkatakan apabila dia memuat naik video menggayakan baju agak besar di Instagram.

“Saya sedia maklum pasti ada yang akan bercakap saya hamil apabila memuat naik video ini. Saya tidak kisah dan tetap buat juga.

“Selepas itu ramai yang buat spekulasi ini. Sebenarnya, ia berlaku ketika kami dalam perjalanan ke Maldives.

“Sehari suntuk saya dan Fattah tak makan kerana penerbangan yang agak lama,” katanya.

Sambungnya, pada awalnya mereka mahu ke Bora Bora tetapi menukar fikiran kerana perjalanan terlalu lama dan akhirnya memilih Maldives.

“Kami memang tak makan sepanjang hari dan apabila sampai terus memesan macam-macam makanan.

“Sudah tentulah apabila makan perut saya nampak besar. Orang tengok pasti ingat saya mengandung.

“Semua pasangan suami isteri mahukan anak. Lepas bernikah kami memang merancang soal anak kerana jadual agak ketat,” katanya.

Menurutnya lagi, selepas setahun berkahwin, mereka melalui detik indah berdua dan kini bersedia untuk menimang cahaya mata pada bila-bila masa.

“Sekali lagi saya janji akan umumkan apabila masanya sudah tiba. Sebenarnya sekarang saya lebih selesa menggayakan baju yang agak longgar.

“Rasanya ini trend sekarang dan di Hollywood pun sama. Itu lebih selesa. Ramai tertanya-tanya kenapa saya suka pakai baju longgar dan anggap saya hamil.

“Saya akan berpakaian ikut kesesuaian situasi. Saya jenis yang tidak peduli kata-kata orang. Kalau nak fikir kata orang terutama di media sosial, mungkin kita akan jadi gila, tak boleh hidup dan tak boleh nak jadi diri sendiri,” katanya.

Berbicara mengenai drama terbaru, Fazura kini lebih memilih kerana enggan bawa watak stereotaip.

“Ada banyak tawaran tetapi saya tolak kerana skripnya kurang menarik.

“Saya perhatikan industri kita banyak cerita sama. Balik-balik cinta tiga segi dan kisah orang kampung dipaksa berkahwin dengan anak orang kaya.

“Saya tahu ramai peminat merindui kemunculan saya di kaca TV dan di layar perak. Insya-Allah saya nak buat satu siri untuk peminat dan harap dapat skrip yang baik dan pengarah juga bagus,” katanya.

Fazura menginginkan sesuatu yang berbeza seperti diperlihatkan menerusi drama Nur yang menjadi fenomena.

“Saya dalam proses pujuk pengarah Bernard Chauly untuk hasilkan drama untuk Samarinda ataupun siri di Astro.

“Diharapkan saya dapat juga bekerjasama dengan pengarah hebat seperti pengarah Nur, Shahrulezad Mohameddin dan ramai lagi.

“Saya harap dapat hadiahkan peminat dengan drama berkualiti. Selain itu, filem lakonan saya, The Legend of Pontianak akan ditayangkan pada Jun ini,” katanya.

Begitu juga perihal gandingannya dengan Fattah apabila Fazura mahukan sesuatu yang segar.

“Ada banyak tawaran tapi kami mahu pilih skrip yang bagus. Kalau boleh kami mahu elak digandingkan kerana bimbang orang muak.

“Lagipun, sejak awal bernikah lagi kami bersetuju untuk tidak terlalu kerap tampil berdua kerana masing-masing ada ‘brand’ tersendiri.

“Tak mahulah setiap masa asyik Fatzura. Kalau sesekali okey. Bagaimanapun, kami lebih selesa teruskan kerjaya mengikut aliran masing-masing,” katanya.

Mereka bagaimanapun akan muncul dengan single duet berjudul Paling Sempurna. Selain itu, Fazura juga tampil dengan single Inggeris berjudul sementara Can’t Forget Me yang dirakam di sebuah studio di Los Angeles, Amerika Syarikat, tahun lalu.

Teringin jumpa Rajinikanth

Dalam pada itu, Fazura mengakui gembira apabila diundang sebagai tetamu pelancaran filem Petta yang akan ditayangkan bermula 10 Januari ini.

“Walaupun ia filem Bollywood, kehadiran saya ialah sebagai tanda sokongan. Saya bukanlah peminat tegar filem Bollywood atau Tamil.

“Namun, ketika kanak-kanak dulu saya ada juga menonton filem Tamil terutama yang dibintangi Rajinikanth.

“Saya difahamkan dia pelakon yang merendah diri meskipun popular dan berharap dapat menemuinya satu hari nanti. Mana tahu akan ada kerjasama antara kami nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 6:30 AM