Mohd Nasif Badruddin dan Mohd Anwar Patho Rohman dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sembilan undi rahsia dalam kalangan sembilan sultan dan raja-raja Melayu akan menentukan siapa bakal menggantikan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Jika undi berkenaan yang dibuat melalui Majlis Raja-Raja (MRR) memilih seseorang sultan itu maka baginda akan dilantik selain perlu bersetuju untuk menjawat jawatan sebagai ketua negara.

Pakar Perlembagaan Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, pada pusingan pertama dulu, sistem penggiliran dibuat berdasarkan kekananan (senioriti), umur dan tempoh sultan memegang jawatan di negeri asal sebelum dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pada pusingan kedua pula, enam Sultan yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong mengikut urutan pusingan pertama seperti dipersetujui MRR setakat ini.

“Begitupun dari segi Perlembagaan, ia tidak mengikat MRR untuk mengikut urutan seperti pusingan pertama, sebab itu adanya undi rahsia dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong.

“Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ini juga berdasarkan kepada beberapa perkara lain seperti kemampuan melaksanakan tanggungjawab dan sebagainya yang akan diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengikut sistem penggiliran, sultan negeri seterusnya yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah Pahang, namun baginda kini dilaporkan gering dan takhta dipangku anakandanya sebagai Pemangku Raja Pahang.

Bagaimanapun, Seksyen 1 Bahagian I Jadual Ketiga Perlembagaan menyebut syarat seseorang raja akan dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ialah dewasa, tidak menolak untuk dipilih selain tidak ditolak MRR.

Setakat ini, hanya tiga negeri yang belum melengkapi giliran Yang di-Pertuan Agong bagi pusingan kedua iaitu Pahang, Johor dan Perak.

Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula kini disandang oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang baru saja menamatkan tugas sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong pada 31 Disember lalu.

Dr Muhammad Fathi yang juga Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan di Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya boleh dilantik terus sebagai Yang diPertuan Agong walaupun pernah memangku tugas itu sebelum ini.

“MRR akan bersidang dan menentukan Sultan dari negeri mana yang akan dipilih serta dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sementara itu, pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz turut berpendapat hanya MRR dan persetujuan sultan yang dipilih untuk menentukan siapa Yang di-Pertuan Agong baharu.

“Proses pelantikan Yang di-Pertuan Agong bergantung kepada budi bicara MRR mengikut Peraturan 32 dibaca Peraturan 38 dan ini adalah satu perkara yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu tahu, Timbalan Yang di-Pertua Agong tidak semestinya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, ia hendaklah melalui proses ditetapkan perlembagaan dan undang-undang serta memerlukan pemilihan,” katanya.

Dr Shamrahayu berkata, persoalan siapa yang akan menjadi Yang di-Pertuan Agong seterusnya bergantung kepada budi bicara MRR dan bergantung kepada sultan yang dipilih.

“Dari segi peraturan asas pemilihan, kebiasaannya raja paling kanan iaitu pada pusingan pertama dulu mengikut kekananan seseorang raja di negeri itu mengikut susunan bilangan tahun baginda memerintah.

“Tetapi pusingan pertama berakhir Sultan Perak sebagai Yang di-Pertuan Agong kesembilan seperti senarai baharu yang dikeluarkan MRR, bagaimanapun apa yang perlu kita faham ia terserah kepada MRR dan dipersetujui oleh Sultan yang dipilih,” katanya.

Menurutnya, dalam undang-undang mengikut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong boleh meletak jawatan dengan menghantar surat kepada MRR.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 10:00 AM