KEADAAN belon udara panas yang melakukan pendaratan cemas di Nibong Tebal, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my


SEKUMPULAN pengamal media yang dibawa merasai pengalaman menaiki belon udara panas menempuh detik cemas apabila terpaksa mendarat cemas di kawasan hutan berhampiran Padang Jawi, Nibong Tebal, hari ini.

Sebelum itu, belon udara panas berkenaan dikatakan sudah terbang selama 27 minit pada paras ketinggian 1,500.

Bagaimanapun, kecekapan Kapten Jonas Van Doorsselaere, 32, yang mempunyai kepakaran selama 17 tahun mengendalikan belon udara panas itu meredakan perasaan gementar dialami wartawan dan jurugambar sebelum mereka dibawa terbang semula ke kawasan lebih selamat.

Turut berada di dalam belon udara panas itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang Yeoh Soon Hin dan seorang pembantunya.

Sebelum itu, Jurugambar NSTP, Mohamad Danial Mohd Saad dibantu jurugambar Bernama, Muhammad Zainulariff Ahmad Sarbri turun dari belon udara panas berkenaan membantu kakitangan memudahkan proses penerbangan semula.

Beberapa minit terbang, sekali lagi perasaan sekumpulan pengamal media diuji apabila terpaksa mendarat di tengah jalan raya berhampiran Padang Jawi berikutan faktor angin.

Kira-kira 15 petugas media dan jurugambar dari pelbagai agensi merasai pengalaman menaiki belon udara panas yang dianjurkan My Balloon Adventure terbabit.

Mereka mula menaiki belon udara panas itu bermula jam 8.30 pagi sebelum mendarat kira-kira jam 9.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 12:35 PM