MAHER Zain (kiri) akan mempersembahkan lebih 20 lagu dalam konsert berdurasi dua jam itu.
Amirul Haswendy Ashari
amirul@hmetro.com.my


Walaupun pernah merakam semula dua lagu popularnya berjudul Insya Allah dan For The Rest Of My Life (Sepanjang Hidupku) ke dalam bahasa Malaysia pada 2011, penyanyi dari Sweden, Maher Zain tiada perancangan untuk merakam kembali lagu dalam bahasa berkenaan.

Maher berkata, ramai yang mencadangkan dia melakukannya lagi dan melihatnya sebagai satu cabaran.

“Saya tiada perancangan ke arah itu buat masa ini. Semua orang tahu saya tidak bertutur dalam bahasa Malaysia, tapi disebabkan populariti lagu itu saya diminta untuk merakamkannya ke dalam bahasa itu,” katanya.

Katanya, atas permintaan, dia pernah menyanyikan semula lagunya dalam bahasa Turki, Perancis dan Urdu serta beberapa bahasa lain sebelum ini.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 37 tahun ini mengakui semua lagu ada mesej indah mengenai Islam sekali gus menjadi satu medium menarik untuk mengubah persepsi masyarakat Barat terhadap Islam.

Maher yang menghasilkan single terkini berjudul Huwa AlQuran tahun lalu berkata, ketika berdiri di atas pentas menyampaikan lagu, dia dapat melihat banyak emosi peminat yang faham dengan isi lagu berkenaan.

“Ada yang tersenyum, menangis malah ada yang seperti berdoa apabila mendengar lagu saya. Ia sekali gus memberi maksud lagu saya memberi kesan kepada mereka.

“Disebabkan itulah saya berasakan konsert ini boleh menarik lebih ramai penonton untuk menghiburkan hati sekiranya diperluaskan ke negara luar seperti Indonesia, Kanada, Itali, Amerika Syarikat dan Australia,” katanya.

Bercakap mengenai konsert jelajah di Malaysia yang bakal bermula pada 9 Mac depan, Maher berharap perjalanan konsertnya itu akan memberi impak tersendiri.

Katanya, peminat di Malaysia sentiasa memberi sokongan padu terhadap kerjayanya sejak kali pertama menjejakkan kaki ke sini pada 2010.

Maher berkata, apabila muncul dengan album pertama pada 2009, dia dapat berasakan namanya menjadi sebutan ramai di Malaysia.

“Syukur kerana peminat Malaysia sangat mesra dan ia membuatkan saya mahu kembali ke sini berkali-kali,” katanya yang kali terakhir ke negara ini sempena album One pada 2014.

Dia tahu ramai peminat menantikan kedatangannya untuk mengadakan konsert dan berharap kedatangan kali ini mengubat rindu serta permintaan mereka.

Pada konsert Maher Zain Malaysia Tour 2019 itu, Maher akan mempersembahkan lebih 20 lagu dalam konsert berdurasi dua jam itu.

Konsert bakal bermula di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 9 Mac, sebelum diteruskan ke Pasir Gudang, Johor (15 Mac), Spice, Pulau Pinang (16 Mac) dan Universiti Malaysia Sabah (17 Mac).

Dia menganggap konsert ini sebagai permulaan kepada lebih banyak konsert ke negeri lain pula pada masa depan.

Sejak mengumumkan bakal mengadakan konsert, lebih 35 peratus tiket sudah terjual dan dia menjangka lebih 50,000 peminat akan hadir.

Selain itu, dia juga merancang mengundang beberapa artis tempatan untuk berkongsi di pentas sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 6:00 AM