Malek pernah menjadi budak penghantar piza.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Meskipun pernah memenangi beberapa anugerah sepanjang pembabitan dalam dunia seni, kemunculan Rami Malek menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Golden Globe ke-75 baru-baru ini adalah kemenangan pertamanya menerusi anugerah berprestij berkenaan.

Melakonkan watak sebagai mendiang Freddie Mercury yang juga vokalis kumpulan Queen menerusi filem Bohemian Rhapsody, peluang dan kepercayaan yang diberikan pihak produksi serta pengarah nyata memberi rezeki baharu kepada Malek.

Namun begitu, untuk mencapai kejayaan yang diraih itu bukanlah mudah. Hanya selepas 15 tahun berlakon barulah Malek dapat merasai kejayaan besar seperti itu.

Kata Malek, terlalu banyak pengorbanan dilakukan untuk berada di tahap sekarang. Walaupun mengambil masa lama, dia puas dan menantikan naskhah berkualiti untuk dilakonkan.

“Kejayaan ini tidak diperoleh dalam masa singkat. Sudah lama saya kerja keras untuk merasai kemenangan ini. Saya belajar teater, melakukan pelbagai pekerjaan termasuk pelayan di restoran makanan segera sebelum bergelar pelakon.

“Terlalu lama hidup saya dibelenggu hutang. Saya terpaksa melakukan dua atau tiga pekerjaan untuk melangsaikan yuran pengajian. Namun, berdiri di Golden Globe sebagai wakil kumpulan Queen dan Freddie, semua pengorbanan dan usaha itu berbaloi,” katanya.

Tidak ramai tahu, Malek terpaksa bergelut dengan perasaan sendiri apabila terpaksa memakai pakaian sekuin sama seperti Mercury. Katanya, setiap hari dia akan mengingatkan diri sendiri agar membawakan watak itu dengan baik.

Malahan, setahun sebelum penggambaran bermula, Malek sudah membiasakan diri memakai gigi palsu agar tidak timbul masalah apabila menjalani penggambaran filem berkenaan.

“Ya, pakaian sekuin itu menggambarkan Mercury tetapi saya tidak selesa. Oleh itu, setiap hari saya katakan kepada diri agar melakonkan watak ini dengan baik tanpa sebarang kecacatan.

“Amat mengejutkan apabila menjalani penggambaran, saya seolah-olah mendapat semangat Mercury dan semuanya berjalan lancar. Kemudian, saya sendiri minta pihak wardrobe sediakan sekuin berwarna merah.

“Setahun sebelum penggambaran bermula, saya sudah membiasakan diri dengan watak itu dengan memakai gigi palsu ketika keluar rumah. Situasi itu membuatkan saya lebih memahami karakter Mercury,” katanya.


Malek dikatakan sedang menjalinkan hubungan dengan Lucy.

Zaman mudanya, Malek juga pernah menjadi budak penghantar piza dan pada masa sama cuba mencari peluang untuk berlakon. Bagaimanapun, kesukaran mencari titik permulaan itu membuatkan dia akhirnya melupakan impian berkenaan dan mengikuti kursus untuk mendapatkan lesen sebagai ejen hartanah.

Bukannya sekali dua Malek berputus asa mengejar impiannya bergelar bintang filem di Hollywood. Malahan, dia yang dibesarkan di Los Angeles, California sanggup berpindah ke Argentina kerana ingin berehat seketika selepas lakonannya dalam siri The Pacific dikecam teruk.

Bagaimanapun, percaturannya membuahkan hasil apabila dia kemudian terus-menerus menerima tawaran berlakon termasuk watak puntianak bernama Benjamin dalam filem Twilight: Breaking Dawn 2.

“Lakonan pertama saya adalah watak Andy dalam siri Gilmore Girls (GG). Walaupun hanya muncul dalam satu episod, ia menjadi batu loncatan untuk saya mengembang kerjaya.

“Perlahan-lahan, saya mula diberikan peluang berlakon dalam beberapa drama lain seperti The War At Home dan Mr Robot. Saya sangat berterima kasih kepada pengarah GG kerana ketika itu meminta menghadiri uji bakat. Kerjaya lakonan mulai berkembang selepas itu.

“Selepas menerima pelbagai kritikan menerusi drama The Pacific, saya terharu kerana masih ada pengarah mempercayai bakat saya. Akhirnya, siri Mr Robot melayakkan saya memenangi Pelakon Utama Drama Bersiri Terbaik dalam Anugerah Primetime Emmy. Kemudian semuanya menjadi semakin lancar sama ada dalam drama mahupun filem,” katanya.

Malek pelakon bukan ‘kulit putih’ pertama yang dinobatkan pemenang kategori utama Anugerah Primetime Emmy. Sudah tentulah kemenangan itu satu kebanggaan buat dirinya.

Sementara itu, Malek dikatakan sedang menjalinkan hubungan dengan gandingannya dalam filem Bohemian Rhapsody iaitu Lucy Boynton. Aktor itu secara terbuka menggelar Lucy sebagai cinta hatinya dalam ucapan selepas menerima anugerah pada Palm Springs International Film Festival’s Film Awards Gala.

Berdasarkan khabar angin yang tersebar, hubungan mereka bermula ketika sama-sama menjalani penggambaran filem Bohemian Rhapsody. Namun, setakat ini belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai hubungan mereka.

“Saya bukanlah individu yang gemar menceritakan kisah peribadi. Saya rasa apa yang saya tunjukkan di hadapan orang ramai itu sudah cukup menjelaskan hubungan dengan Lucy,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 6:30 AM