AARIZ yang koma dipercayai didera pengasuh. FOTO Ihsan pembaca


“BANGUN Aariz Harraz Zahin, rumah ummi beli untuk Zahin dah siap,” itu luahan ibu kepada bayi lelaki yang kini koma selepas dipercayai didera pengasuhnya, menerusi laman Facebook (FB) miliknya, semalam.

Menerusi laman sosial itu, Hzah Jazman, memaklumkan dia baru dihubungi peguam yang menguruskan pembelian sebuah rumah supaya hadir untuk menandatangani perjanjian jual beli.

“Bangun sayang, ummi nak bawa Zahin pindah rumah ini nanti,” kongsinya yang turut menyentuh hati kenalan dan netizen yang turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa Aariz Harraz Zahin Azman, sembilan bulan.

Kisah penderaan yang dialami bayi malang itu ternyata bukan saja mengundang simpati orang ramai, malah ramai turut mengecam tindakan wanita yang juga pengasuh berusia 39 tahun itu.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa dikatakan berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai Jaya, di Sibu, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua matanya selain mengalami retak pada kiri kepala akibat hentakan kuat.

Suspek kemudian ditahan polis susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa sebelum mendedahkan dia menggoncang bayi terbabit kerana menangis tidak berhenti, selain tertekan dengan mengalami kesakitan akibat datang bulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa masih menerima rawatan di Hospital Sibu dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.

“Suspek masih direman sehingga Ahad ini dan sebarang tindakan susulan bergantung kepada apa keadaan mangsa.

“Suspek juga didapati tidak mempunyai lesen untuk membuka pusat asuhan dan hanya membantu menjaga kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapanya semasa waktu bekerja,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Katanya, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau keduanya jika disabitkan kesalahan.

Berita berkaitan

''Bayi disyaki didera masih kritikal'

''Bayi koma, patah gigi disyaki didera pengasuh'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 6:39 PM