ZAYN.
Georgie Joseph


Penyanyi Zayn Malik mendedahkan sudah bersedia kembali aktif beraksi di pentas. Bahkan, dia mengakui tidak sabar menjayakan konsert solo selepas lama menyepi.

Bekas anggota One Direction berusia 25 tahun itu belum berkesempatan mengadakan konsert solo selepas membatalkan beberapa siri persembahan.

Penyanyi Satisfaction ini berbuat demikian berikutan mengalami masalah gangguan kebimbangan yang teruk.

Minggu lalu, Zayn kembali menjadi perhatian selepas memberitahu pengikut di Twitter dia berkobar-kobar mahu menyanyikan lagu dalam album keduanya, Icarus Fall secara langsung.

“Saya tidak sabar mahu kembali ke pentas! Melodi itu semakin kuat bermain di fikiran beberapa hari kebelakangan ini. Saya sudah bersedia sepenuhnya,” kongsi penyanyi terbabit.

Zayn yang pernah mendominasi carta muzik dunia selepas bergerak solo pada 2015 tidak menafikan risau beraksi solo.

“Dalam album itu, banyak lagu berentak rancak dan saya pula tak pandai menari. Pastinya, ia memerlukan penari tambahan meski saya rasa tidak perlu berbuat demikian,” katanya.

Menurut Zayn dia lebih selesa beraksi secara ikhlas dan menjadi diri sendiri. Tegasnya lagi, dia bukan mahu tunjuk lagak dan berharap peminat tidak berprasangka buruk.

“Saya tidak akan lakukan perkara yang saya rasa tidak berbaloi. Saya cuba memberi penjelasan kepada semua peminat dengan harapan mereka faham saya bukan cuba berlagak sombong,” katanya.

Ketika itu, Zyan mengakui dirinya masih bergelut mencari identiti paling sesuai untuk bergerak sebagai artis solo.

“Keputusan itu beri ruang kepada saya untuk berfikir secara mendalam bagaimana mahu jadi penghibur. Lama juga saya tertanya-tanya di mana nilai diri ini sebagai penghibur.

“Saya tidak mahu persembahan saya nanti kelihatan aneh dan tidak kena dengan personaliti. Saya jenis yang suka simpan perasaan dan lebih selesa jadi diri sendiri atas pentas,” katanya.

Sementara itu, hubungan cintanya dengan model jelita Gigi Hadid terus menjadi teka-teki. Baru-baru ini hubungan mereka dikatakan sudah berakhir selepas bercinta semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 6:01 AM