ALPIAN bersama sebahagian koleksi barangan antik dan vintaj di Fuyoh! Collectors Market, Publika.

Redzuan Muharam

redzuan.muharam@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Setiap kali berada di rumah, saya rasa puas kerana dapat melihat koleksi barangan terkumpul yang secara tidak langsung mengimbas nostalgia ketika zaman kanak-kanak,” kata pengumpul barangan antik dan vintaj, Alpian Jamid, 48.

Alpian yang menetap di Skudai, Johor Bahru berkata, dia cenderung mengumpul barangan antik dan vintaj sebelum mendirikan rumah tangga lagi tetapi mula serius dengan hobi itu sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, kebanyakan barangan di dalam simpanannya berusia lebih 50 tahun dan dibeli daripada pengumpul item vintaj dan penjual di pasar karat.

“Ikutkan hobi mengumpul barangan lama ini ada sejak saya masih bujang lagi cuma ketika itu sekadar suka-suka dan koleksi juga pelbagai dan tidak terhad pada satu jenis item saja.


ALPIAN bersama isteri, Safiah (dua dari kiri), anak sulung, Puteri Balqis dan anak bongsunya, Muhammad Danish Dini.

“Namun minat saya semakin bertambah selepas mendapat dua almari peninggalan arwah ibu mentua, Maimon Hashim.

“Almari itu disimpan ibu mentua sejak 1940 dan masih dalam keadaan baik. Disebabkan itu, saya jadikan sebagai koleksi dan tidak bercadang untuk menjualnya kepada sesiapa,” katanya ketika ditemui di Fuyoh! Collectors Market, Publika.

Alpian yang bekerja sebagai ejen insurans berkata, barangan paling digemarinya adalah papan iklan dan poster, namun dia turut menjadikan item lain sebagai koleksi antaranya cawan kopitiam, gelas minuman berkarbonat, almari, sofa, katil, pemain piring hitam, cerek air, tin dan guni tepung.


KAUNTER bar yang dibeli Alpian dengan harga RM5,000.

Katanya, sehingga kini dia membelanjakan RM200,000 untuk membeli barangan kegemarannya dengan purata RM500 setiap bulan.

Menurutnya, barangan paling mahal pernah dibelinya berharga RM5,000 iaitu kaunter bar manakala paling murah tin minuman berharga RM2.

Alpian berkata, dia turut menjual lebihan koleksi kepada mereka yang berminat sebagai salah satu cara memastikan kediamannya tidak terlalu padat dengan barangan terbabit.

“Pada mulanya isteri, Safiah Omar tidak begitu senang dengan hobi saya, mungkin kerana bimbang rumah berselerak dan dipenuhi barangan dikumpul.

“Tetapi lama-kelamaan dia dapat menerimanya dan kebetulan saya gemar menghias rumah, jadi semua koleksi itu disusun rapi dan kediaman turut diubahsuai mengikut konsep retro.

“Jujurnya saya puas dengan hasil dekorasi dilakukan dan paling menggembirakan apabila mendapat pujian rakan serta keluarga yang datang berkunjung terutama ketika sambutan Aidilfitri,” katanya yang mempunyai dua anak berusia 12 dan 19 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 7:49 AM