RUMAH yang didiami Siti Nur Azlina bersama tiga anaknya di Kampung Padang Lati Hilir, Bukit Marak.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


BACHOK: Dua keluarga termasuk ibu tunggal bersama tiga anaknya mendiami sebuah rumah kecil yang uzur dan dipenuhi lubang di Kampung Padang Lati Hilir, Bukit Marak.

Lantai kayunya yang sudah reput membahayakan nyawa 10 penghuni itu terutama anak kecil berusia antara enam bulan hingga 10 tahun.

Malah rumah itu tidak mempunyai bilik tidur dan hanya ditutup dengan tirai kain untuk memisahkan dapur dua keluarga.

Ibu tunggal, Siti Nur Azlina Ghani, 27, berkata, dia bersama abang kandungnya, Mohd Maliki, 29, dan isteri serta empat anak mereka tinggal di rumah miliki abang sulung mereka Mohd Azmi, 38.

Katanya, dia sudah dua bulan menumpang di situ selepas suaminya, Mohd Zulkifli Abd Ghaffar, 48, yang bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Selepas suami meninggal, saya dan tiga anak hilang tempat bergantung sebelum mengambil keputusan menumpang di rumah ini.

“Walaupun rumah ini menunggu masa untuk menyembah bumi, saya tiada pilihan disebabkan tiada tempat tinggal lain dan ibu bapa juga orang susah.


SITI Nur Azlina bersama tiga anaknya.

“Tiga anak juga masih kecil berusia antara lapan bulan hingga tujuh tahun yang menyukarkan saya untuk keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Terdahulu, Siti Nur Azlina dikunjungi Ketua Cabang PKR Bachok, Datuk Mohd Rowi Dollah yang menghulurkan sumbangan barangan keperluan harian.

Siti Nur Azlina berkata, dia kini mengharap belas ihsan keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup manakala keperluan sekolah anak sulungnya, Muhammad Danial, 7, dibantu ahli keluarga dan jiran tetangga.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun Maybank 156094465273 milik Siti Nur Azlina Ghani.

Sementara itu, Mohd Rowi berkata, bantuan segera diberikan kepada ibu tunggal berkenaan dan keluarga abangnya selepas dimaklumkan mengenai kepayahan mereka.


MOHD Rowi melihat keadaan rumah yang didiami Siti Nur Azlina.

“Kita akan cuba beri bantuan rumah menerusi projek perumahan rakyat (PPR) dan mendaftarkan mereka di bawah program e- Kasih.

“Difahamkan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi bantuan wang tunai RM300 sebulan keluarga ini bermula Februari depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 7:55 AM