Abdul Razak Raaff dan Amin Ridzuan Ishak


PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam, berkuatkuasa serta merta.

Majlis pemasyhuran itu akan diadakan pada 11 pagi Selasa ini, di Istana Abu Bakar, Pekan.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bertitah, 30 Ahli Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang bermesyuarat di Kuala Lumpur, semalam bersetuju dengan sebulat suara.

“Dalam keadaan sedih dan dukacita saya dan keluarga terima hakikat bahawa ayahanda (Sultan Ahmad Shah) tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai pemerintah.

“Mesyuarat yang saya pengerusikan semalam juga bersetuju dan meluluskan pindaan Bahagian 1 Perkara 9A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada ahli majlis jumaah untuk menurunkan takhta raja disebabkan kegeringan yang besar dan berat.

“Pindaan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang ini hanya membabitkan Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan tidak perlu dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” titahnya pada sidang media khas di Istana Abu Bakar, di Pekan, hari ini.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah yang juga Sultan Pahang Kelima digelar sebagai Sultan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Berita lanjut menyusul

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 3:27 PM
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah.