Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


INSTITUT Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Kota Bharu sudah membuat laporan berhubung tindakan pegawainya menendang motosikal yang diparkir di dalam kawasan itu, sehingga tular di media sosial, hari ini.

Pengarahnya Zainuddin Ahmad berkata, perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Ibu Pejabat Jabatan Tenaga Malaysia (JTM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihak pengurusan ILP Kota Bharu ingin memohon maaf atas tindakan tidak wajar pegawai yang menimbulkan keadaan tidak selesa kepada ibu bapa pelajar yang berurusan dengan ILP itu.

“Hari ini adalah pendaftaran pelajar lama dan memang sebarang kenderaan tidak dibenarkan masuk. Sepatutnya, pegawai itu tidak berbuat demikian dan boleh memanggil pelajar mengalihkan kenderaan mereka.

“Kami sudah melaporkan kejadian itu ke Ibu Pejabat JTM untuk tindakan segera diambil terhadap pegawai berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rakaman berdurasi seminit 28 saat yang menunjukkan pegawai institut kemahiran itu menendang tiga motosikal yang diparkir di kawasan itu sehingga jatuh tular di media sosial, sejak petang ini.

Lelaki terbabit dikatakan berbuat demikian ketika sesi pendaftaran pelajar lama selepas tidak berpuas hati dengan tindakan mereka meletakkan motosikal di kawasan itu.

Perbuatan itu berjaya dirakam oleh salah seorang pelajar yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Sementara itu, JTM ketika dihubungi menerusi Facebook rasminya berkata, pihaknya memandang serius perkara itu.

“Tindakan susulan yang sewajarnya terhadap pegawai berkenaan akan diambil.

“JTM memohon maaf kepada ibu bapa pelajar yang terbabit dan akan memastikan kejadian sama tidak akan berulang di masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 6:14 PM
PAPARAN dari rakaman kejadian. FOTO Ihsan Pembaca