Shamsul Munir Safini


AKIBAT dipercayai mengabaikan kebajikan pekerja, lelaki ditemui maut dalam keadaan ngeri dengan 14 kesan tikaman di badannya di Taman Pulasan di Bukit Mertajam, hari ini.

Pada kejadian 3.10 petang itu, mangsa dikenali sebagai R Manogaran, 55, ditemui dengan pisau yang dibiarkan tercacak di bahagian perutnya.

Difahamkan, pembunuhan kejam itu berpunca daripada masalah pembayaran gaji kepada pekerja warga asing yang diselianya di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa.

Beliau berkata, polis bergegas ke lokasi sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang di ruang bilik utama dan didapati memakai baju-T dan berseluar panjang hitam.

“Sebilah pisau berhulu kayu juga ditemui tercacak di bahagian tengah perut

“Pemeriksaan awal oleh pasukan forensik juga menemui 13 kesan tikaman di bahagian hadapan dan rusuk, serta satu tikaman di bahagian belakang," katanya.

Menurutnya, polis juga menemui satu pahat berhulu besi di sinki bilik air utama tempat mayat mangsa ditemui.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa yang juga rakyat tempatan adalah pembekal pekerja asing warga Myanmar kepada beberapa buah kilang di kawasan Bukit Tengah.

Beliau berkata, mangsa yang beralamat di Subang, Selangor itu tidak berkahwin dan tinggal bersama dengan kira-kira 10 orang pekerja warga Myanmar di rumah yang juga lokasi kejadian.

“Rakan mangsa berkata, sebelum kejadian iaitu jam 10 pagi, selepas menghantar pekerja ke kilang, mangsa memberitahu bahawa dia mahu pulang ke rumah.

“Pada jam 2 petang, rakan mangsa menerima panggilan dari pihak kilang memberitahu mangsa tidak menghantar makanan kepada pekerja menyebabkan pekerja tidak mahu menyambung kerja.

“Rakan mangsa kemudian terus datang ke tempat kejadian dan masuk ke rumah yang tidak berkunci," katanya.

Menurutnya, dia kemudian melihat kesan darah di bahagian ruang tamu dan mendapati pintu bilik utama rumah yang juga bilik mangsa, berkunci.

Nik Ros Azhan berkata, rakannya kemudian menyuruh seorang pekerja Myanmar yang tinggal berdekatan memanjat masuk ke bilik mangsa melalui tingkap bilik air.

Katanya, sebaik pintu itu dibuka, dia melihat mangsa sudah tidak bernyawa dan berlumuran darah.

Katanya, rakan mangsa kemudian meminta seorang wanita yang juga penjaga kedai berdekatan mengbungi polis.

“Beberapa orang pekerja mangsa juga sedang dikenal pasti dan akan diambil keterangan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 9:17 PM
MAYAT mangsa. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal