RAZILAWALI menunjukkan jersi pasukan MDT miliknya.
Noor Azam Abdul Aziz


Kuantan: Terpilih mewakili skuad bola sepak Malaysia Deaf Tigers (MDT) di pentas antarabangsa hadiah paling bernilai buat Razilawali A Wahab, insan istimewa yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir.

Lebih membanggakan apabila insan berusia 34 tahun itu mengetuai skuad berkenaan melayakkan diri ke Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Orang Pekak 2020 di Korea Selatan iaitu yang pertama bagi pasukan dari negara ini.

Razilawali berkata, mereka berjaya layak ke Piala Dunia selepas menduduki tangga keenam pada saingan Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asia Pasifik di Changwon, Korea Selatan tahun lalu.

“Ia membolehkan kami layak ke Piala Dunia, sebagai ketua pasukan saya berpuas hati dan berbangga dapat melakar sejarah baru pasukan MDT yang tidak pernah diberi harapan berada dalam dalam kelompok pasukan terbaik dunia sebelum ini.

“Lebih manis saya berjaya menghasilkan lima gol dan berjaya mencatat keputusan 2-2 ketika bertemu tuan rumah yang juga juara kejohanan,” katanya di sini, semalam.

Katanya, bukan mudah membentuk skuad MDT yang mantap disebabkan beberapa faktor seperti ketandusan pemain dan jurulatih berkualiti selain kurangnya perhatian pihak bertanggungjawab terhadap kemajuan pasukan.


RAZILAWALI bersama anak-anaknya menunjukkan pingat yang dimenanginya.

Katanya, sebagai pemain senior dalam pasukan tidak dinafikan bukan mudah beraksi dengan rakan yang tidak dapat mendengar 100 peratus dan hanya bergantung kepada bahasa isyarat.

“Dalam pasukan MDT hanya empat pemain boleh bercakap dan mendengar hampir sama dengan insan normal, selebihnya pekak dan bisu 100 peratus.

“Walaupun saya boleh bercakap dan mendengar namun kami terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk berhubung, untuk memberi arahan di tengah padang amatlah susah,” katanya yang kini mewakili Terengganu.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia tidak sabar beraksi kali pertama dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia dan mahu mengharumkan nama negara.

“Tuhan memberi kelebihan pada kaki kiri saya yang istimewa apabila boleh dikatakan pada setiap perlawanan peringkat antarabangsa saya berjaya menghasilkan gol, kejayaan menghasilkan tujuh gol ketika bertemu Vietnam di Kuala Lumpur pada 2016 adalah kenangan manis tidak mungkin dapat dilupakan.

“Jersi nombor 11 menjadi milik saya sepanjang bersama MDT, kepercayaan sebagai ketua pasukan diberikan jurulatih Manachai Sitthisarn akan digalas sebaik mungkin selagi

diberi kepercayaan mewakili negara,” katanya yang menetap di Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Bandar Gambang, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 9:00 AM