NORTISSYA masih dirawat di hospital.
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: “Dia sudah boleh bercakap dan tengah malam tadi (kelmarin) dia meminta air kerana haus,” kata Herna Hasim, 27, ibu kepada Nortissya Abdullah, kanak-kanak berusia dua tahun yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki di sebuah rumah di tingkat empat, Taman Telipok Ria, Tuaran di sini, kelmarin.

Herna berkata, keadaan anak perempuannya itu kini stabil dan masih dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, untuk pemantauan.

“Tetapi pagi tadi (semalam) ketika luka di lehernya dibersihkan, dia mengadu sakit,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, Herna menafikan sekeras-kerasnya dakwaan konon dia mengenali suspek lelaki berusia 30-an yang ditembak mati anggota polis dalam insiden berkenaan.

LAPORAN Harian Metro, semalam.

“Saya tidak kenal dan tidak pernah jumpa lelaki itu,” katanya.

Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan dan spekulasi yang tular di media sosial konon suspek adalah bekas suaminya.

Selain itu, ada portal berita melaporkan kejadian berpunca akibat perebutan penjagaan hak anak dan dendam.

Herna berkata, dia melihat suspek memegang Nortissya sambil mengacukan pisau di leher dan merayu supaya lelaki terbabit melepaskan anaknya.

“Ada yang kata lelaki itu bekas suami saya dan kejadian disebabkan dendam hak penjagaan. Tetapi saya tidak kenal dan tak pernah jumpa. Saya tiada kaitan langsung dengan lelaki itu,” katanya.

Mengulas lanjut, wanita itu berkata, suspek yang mati ditembak oleh polis tidak menetap di kawasan Telipok Ria.

“Bagaimana lelaki itu dikatakan bekas suami saya...padahal melihatnya pun tak pernah. Ini semua karut, saya tiada kena-mengena dengannya,” katanya.

Dalam insiden jam 5.35 petang itu, suspek lelaki terbabit melarikan mangsa yang bermain di tingkat empat berhampiran rumahnya lalu menjadikan kanak-kanak berkenaan sebagai tebusan di sebuah rumah di aras sama.

Selepas beberapa jam berunding, suspek enggan menyerahkan mangsa dan beberapa kali mengacah mencampakkan kanak-kanak berkenaan dari bahagian dapur rumah di tingkat empat sebelum ditembak mati oleh anggota polis.

Mangsa yang cedera di leher kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 8:30 AM