KEADAAN kereta dan lori yang terbabit kemalangan. Gambar kecil mangsa yang maut di tempat kejadian (dari kiri) Gayah, Aidrus dan Siti Rasyidah . FOTO Ramli Ibrahim
KEADAAN kereta dan lori yang terbabit kemalangan. Gambar kecil mangsa yang maut di tempat kejadian (dari kiri) Gayah, Aidrus dan Siti Rasyidah . FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


TIGA beranak maut apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, hari ini.

Dalam kejadian 8.40 pagi itu, pemandu kereta, Siti Rasyidah, 21, bersama bapa, Aidrus Ibrahim, 72, dan ibunya, Gayah Che Hassan, 65, maut di tempat kejadian.

Pemandu lori bersama dua kelindannya turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan dan keadaan mereka stabil.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian berhampiran Kampung Sungai Lakit itu berlaku ketika tiga beranak berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.

Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian di kawasan selekoh, kereta dipandu Siti Rasyidah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori.

“Ketiga-tiga mereka tersepit di dalam kereta yang separuh remuk sebelum berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba dalam masa setengah jam.

“Kesemua mereka yang beralamat di Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd Taufi berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Sek 41(1) APJ 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Penguasa Bomba, Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 8.47 pagi.

Beliau berkata, tiga jentera bersama 11 anggota yang diketuainya bergegas ke lokasi dan mendapati ketiga-tiga mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Kita mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat tiga beranak itu termasuk terakhir pemandu, Siti Rasyidah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 12:35 PM