KHAIRUNISSAQ (kanan) bersama Araffi di kediamanya PPR Pudu Ulu. FOTO/MUHD ZAABA ZAKERIA
Mohamad Hussin


Kuala Lumpur: “Kami tidak sampai hati gugurkan kandungan walaupun satu janin kembar sudah keguguran selepas rawatan kimoterapi, kami sedar risikonya, tetapi ini anak sulung kami,” kata Mohd Araffi Mad Rodzi, 28.

Isterinya, Nur Khairunissaq Yazid, 28, yang sedang mengandung tiga bulan dinasihatkan doktor menggugurkan kandungan kerana menjalani rawatan kimoterapi akibat barah paru-paru tahap dua selain jantung berlubang.

“Kami nekad mahu anak dikandung ini dilahirkan walaupun kami sudah kehilangan seorang.

“Saya anggap ini ujian Allah SWT dan saya kena kuat menghadapi semua ini demi memastikan isteri dan anak dalam kandungan sihat,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, di sini.

Mohd Araffi berkata, isterinya tidak mengetahui hamil dan hanya menyedari selepas menjalani kimoterapi kali ketiga.

“Meskipun tugas menjaga isteri agak sukar, saya tetap meneruskannya kerana menganggap penyakit dialami isteri bukan satu bebanan, sebaliknya amanah yang perlu ditunaikan sebagai suami.

“Saya pasti isteri seorang yang kuat dan tabah mengharungi penyakit yang dihidapinya. Sebagai seorang suami, saya akan terus memberi sokongan kepadanya,” katanya.

Menurutnya, isterinya yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan sering keluar masuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan sejak beberapa tahun lalu.

“Isteri saya perlu menjalani pembedahan kerana jantungnya sudah membengkak. Doktor menasihatkan supaya menjalani pembedahan bagi injap jantung dengan anggaran kos RM98,000 yang dijangka pada Mei nanti.

“Saya risau kerana isteri kerap demam yang mungkin akan menjejaskan bayi dalam kandungan. Pendapatan saya sekitar RM1,300 sebagai pemandu am tidak mampu menampung kos rawatan itu,” katanya.

Sementara itu, Nur Khairunissaq berkata, dia reda dengan penyakit yang dihidapi dan akan sedaya upaya melawan barah paru-paru yang dikesan sejak 2013.

“Selepas menjalani pembedahan pada 2016, barah ini sudah sembuh bagaimanapun, ia dikesan merebak semula pada Ogos tahun lalu. Saya terpaksa berulang alik dari rumah ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan selepas disahkan mengidap barah paru-paru tahap dua,” katanya.

Namun, dia dan suami nekad mahu terus menjaga kandungan kerana ini adalah anak sulung mereka selepas berkahwin tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Skuad Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) Kuala Lumpur, Azlina Arbain berkata, pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Baitulmal Kuala Lumpur bagi mendapatkan bantuan membiayai kos rawatan Nur Khairunissaq.

“KELSS tampil membantu kerana simpati dengan nasib wanita berkenaan. Selain bantuan Baitumal yang akan diproses nanti, kami akan melancarkan tabung membantunya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 10:13 AM