Audrey Dermawan


POLIS mengesahkan kenderaan yang tercampak ke dalam laut selepas kemalangan di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang di Georgetown, hari ini sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, usaha mengesan kedudukan kenderaan itu masih giat dilakukan dan belum ada penemuan setakat 3 petang hari ini.

“Pencarian masih diteruskan dan kami menggunakan khidmat empat penyelam daripada Pasukan Polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengesan kenderaan serta pemandu.

“Sekiranya kenderaan itu berjaya ditemui, pihak berkuasa jambatan akan membantu menarik keluar kenderaan menggunakan kren,” katanya, hari ini.

Terdahulu, sebuah kenderaan dilapor terjunam ke dalam laut pada 2.50 pagi hari ini selepas berlanggar dengan kereta Toyota Vios yang disyaki terbabas di lorong kanan jambatan itu sebelum melanggar pembahagi jalan.

SUV putih yang datang dari arah belakang dipercayai cuba mengelak, namun hilang kawalan hingga merempuh tembok sebelah kiri jalan dan tercampak ke dalam laut.

Ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi, hanya Toyota Vios yang remuk di bahagian hadapan ditemui manakala saksi memberitahu sebuah lagi kenderaan (SUV putih) terjunam dalam laut.

Sementara itu, jurucakap JBPM Pulau Pinang berkata, arus deras menyukarkan usaha mengesan kenderaan terbabit.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, jarak penglihatan di kawasan carian terhad disebabkan air kotor dan turut menyukarkan penyelamat.

Dalam pada itu, video berdurasi 21 saat membabitkan kemalangan itu tular di media sosial dan dipercayai dirakam kamera dashcam dipasang salah satu kenderaan yang melalui jambatan berkenaan.

Ia menunjukkan kereta Toyota Vios yang dipandu laju secara tiba-tiba muncul sebelum terbabas ke lorong kanan dan merempuh SUV putih terbabit.

Berikutan itu, kedua-dua kenderaan berpusing beberapa kali dan merempuh penghadang jalan sebelum Toyota Vios tersadai di tepi jalan manakala SUV putih tercampak ke dalam laut.

Berita berkaitan

'Kereta tercampak ke dalam laut [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 5:26 PM
PAPARAN kamera Dashcam menunjukkan kereta Toyota Vios terbabas dan melanggar SUV putih sebelum terjatuh ke dalam laut dalam kemalangan di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. FOTO ihsan pembaca.