Audrey Dermawan
audreymd@nstp.com.my


LAPORAN orang hilang yang dibuat seorang bapa membolehkan identiti pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) putih yang terjunam ke dalam laut selepas kemalangan di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang, dekat Perai, dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, mangsa dikenali sebagai Moey Yun Peng, 20, yang juga penuntut kolej swasta.

Katanya, bapa mangsa membuat laporan kehilangan anak lelakinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada 5 petang tadi selepas Moey tidak pulang ke rumah, semalaman.

“Dia mendakwa anak lelakinya tidak pulang dan mungkin terbabit dengan kemalangan itu yang menyebabkan sebuah SUV terjunam ke dalam laut.

“Bapa mangsa juga memberitahu menerima maklumat daripada rakan anaknya bahawa mereka terbabit kemalangan,” katanya di sini, semalam.

Nik Ros Azhan berkata, tiga saksi bebas dan dua rakan Moey sudah tampil untuk membantu siasatan kes itu.

“Kita sudah merekodkan semua lima keterangan dan rakan mangsa mengaku terbabit dengan kemalangan itu ketika pulang daripada menghadiri parti hari jadi di Georgetown.

“Seorang saksi bebas pula berkongsi rakaman video ‘dashcam’ yang memaparkan insiden berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, operasi diberhentikan pada 7 malam tadi dan bersambung semula pada 7 pagi esok.

Berita berkaitan

[UPDATE] Terus kesan SUV putih tercampak ke laut [METROTV]

'Kereta tercampak ke dalam laut [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 7:41 PM
KOMANDER Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail (kanan) ketika operasi mencari dan menyelamat. Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terhumban ke laut berhampiran Jambatan Pulau Pinang, hari ini. Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL