Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Industri sisa plastik yang menyumbang RM30 bilion kepada negara menyebabkan ia satu perniagaan yang menguntungkan tanpa mengambil kira faktor alam sekitar dan kesihatan

.

Keengganan China menerima sisa buang plastik dari negara maju atas alasan mencemarkan alam sekitar diambil peluang pemain industri tempatan untuk memanfaatkannya walaupun terbukti mereka beroperasi secara haram.

Penggunaan plastik secara meluas disebabkan sifat fizikal plastik yang ringan dan tahan lama sehingga boleh mencecah 1,000 tahun untuk terurai menyebabkan lambakan sisa plastik kini bukan sahaja beban kepada Malaysia, malah di peringkat global.

Pengarah Institut Lautan dan Sains Bumi, Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Sumiani Yusoff berkata, sifat fizikal plastik itu juga menyebabkan ia tak terurai 100 peratus sebaliknya menjadi mikroplastik.

Menurutnya, kajian saintis mendapati lebih 90 peratus hidupan marin mengandungi mikroplastik sekali gus turut membahayakan manusia yang menjadikan sumber marin seperti ikan sebagai makanan.

“Berdasarkan bantahan penduduk tinggal berhampiran kilang memproses sisa plastik, kita boleh nampak kesan segera seperti masalah estetik berkaitan iaitu pencemaran disebabkan kilang yang tidak diuruskan dengan bersih dan teratur.

“Pencemaran membabitkan udara, tanah, air sungai dan laut. Aliran sisa biasanya dilepaskan ke sungai dan laut. Sebanyak 90 peratus pencemaran marin disebabkan sisa plastik.

“Jadi sisa plastik itu terurai menjadi mikroplastik dan menjadi kitaran makanan manusia seperti ikan dan hasil tangkapan laut yang lain sekali gus mendatangkan kesan buruk kepada semua manusia,” katanya.

Beliau mengulas isu Malaysia mengimport sisa plastik dan lebih intensif sejak China menghentikan import bahan berkenaan sehingga pemain industri dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah dikesan beralih memilih negara Asia Tenggara terutama Malaysia.

Dr Sumiani berkata, tidak dinafikan keengganan China mengimport sisa plastik memberikan peluang ekonomi kepada peniaga tempatan untuk merebut peluang namun negara akan kerugian besar dalam jangka panjang akibat kesan negatif industri itu.

“Pemprosesan sisa plastik perniagaan bernilai tinggi disebabkan sumbernya yang tidak kehabisan. Ini kerana penggunaan plastik meluas dalam kehidupan untuk kegunaan pengguna. Itu saya tak nafikan.

“Umumnya sebelum kita mengimport sisa plastik secara intensif pun, Malaysia sudah terkenal sebagai satu daripada negara yang gagal menguruskan sisa plastik domestik.

“Sendiri gagal mengurus sisa dalam negara, apatah lagi apabila kita ada lambakan sisa plastik import dari negara maju yang kalau kita tengok berlaku sebelum ini disebabkan oleh begitu banyak pemberian lesen import (AP) dan permit diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun industri itu dikatakan mendatangkan nilai RM30 bilion setahun kepada negara namun hakikatnya Malaysia akan kerugian lebih teruk khususnya aspek kesihatan dan alam sekitar yang tidak boleh dikompromi.

Menurutnya, pengusaha yang tumbuh bagaikan cendawan mengambil peluang di atas lambakan sisa plastik di pasaran global berfikiran dapat menjana ekonomi tetapi sebaliknya mereka dapati bukan mudah menjalankan proses pengilangan kitar semula secara lestari dan bersih.

“Beban alam sekitar terlalu besar. Sebab itu China antara pengimport utama sisa plastik pun sampai tahap kesedaran tidak mahu lagi menerima bahan itu dari negara maju. Mengapa Malaysia nak jadi pengganti?,” katanya.

Beliau berkata, sisa plastik dalam negara sebenarnya berlebihan sekiranya rakyat negara ini mengamalkan pengasingan sisa di punca termasuk bermula di rumah, pejabat, industri serta dari setiap individu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 10:44 AM
ANTARA buku dan risalah kempen ditulis Dr Sumiani (gambar kanan) mengenai isu sampah plastik.