LAN akui sudah buka buku baru dan bahagia dengan kehidupan sekarang.
Ramlah Zainal


LUPAKAN saja konfliknya bersama kumpulan Kristal.

Bagi penyanyi Lan Solo, sudah sampai masanya dia fokus kepada perkembangan karier nyanyian tahun ini.

Pemilik nama sebenar Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, ini berkata, dia juga tidak mahu dikaitkan dengan cerita negatif lagi kerana bidang nyanyian adalah periuk nasinya untuk menyara keluarga.

“Saya sudah membuka buku baru dan bahagia dengan kehidupan sekarang. Selepas sekian lama bersama band, saya akui bukan mudah untuk bergerak solo tetapi bersedia menyahut cabaran itu.

“Contohnya, saya memasuki program realiti Gegar Vaganza 4 pun kerana mahu mencabar diri. Jika tidak berani menyahut cabaran dalam karier seni, saya tidak akan ada peningkatan dan masih di takuk lama.

“Apa yang penting, saya mahu bekerja keras untuk membesarkan empat anak demi meneruskan kehidupan,” katanya.

Namun, dia tidak dapat mengelak jika peminat masih mengaitkan namanya dengan Kristal hingga sekarang.

“Kristal adalah sejarah lama saya. Saya hanya membawa cerita yang positif ketika bersama mereka dan ia tetap akan menjadi kenangan. Saya juga masih menyimpan dan menggantung poster ketika bersama Kristal dulu di rumah,” katanya.

Menurut Lan, dia juga tidak ada masalah untuk menyanyikan lagu lama ketika masih bersama Kristal dulu.

“Setakat ini tiada sebarang isu untuk saya menyanyikan lagu lama. Anggota Kristal juga faham mengenai perkara membabitkan lagu dan hak cipta ini. Saya bebas menyanyikan lagu Kristal dalam mana-mana persembahan ketika ini,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan karier nyanyian pula, kata Lan, dia kini sibuk membuat persiapan untuk persembahan Lan Solo Next Level di MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 2 Mac ini.

“Saya akan menyampaikan lagu baru dan rangkaian lagu lama sekali gus mengimbau pembabitan dalam bidang nyanyian.

“Selain itu, saya juga baru melancarkan single baru. Saya juga pastikan setiap single baru ada kelainan daripada lagu bersama band. Contohnya, single baru saya berjudul Twist Abang Sayang juga genre retro,” katanya.


LAN Solo ketika sidang media ‘Konsert Retro’ di Istana Budaya. -Foto SALHANI IBRAHIM

Gegarkan Konsert Retro

Selain persembahan dan single baru, Lan juga bakal menjayakan Konsert Retro di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Februari ini jam 8.30 malam.

Konsert berkenaan menampilkan barisan artis terkenal era 1970-an dan 1980-an seperti Uji Rashid, Hail Amir, Dayangku Intan dan Jay Jay. Tidak ketinggalan, Asmidar turut memeriahkan konsert itu nanti.

Secara peribadi, Lan menganggap ia adalah peluang keemasan baginya untuk berkongsi pentas dengan barisan artis lama popular itu.

“Saya sangat teruja untuk menjayakan konsert ini. Apatah lagi beraksi di pentas berprestij seperti Istana Budaya. Saya bermula dengan band dan pernah membuat persembahan dengan Kombo RTM serta Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Selain itu, saya pernah membuat persembahan dalam Konsert Wings & Superfriends di situ sebelum ini. Bersandarkan pengalaman sedia ada, saya juga menjanjikan yang terbaik untuk peminat nanti,” katanya.

Ditanya gandingan dengan Asmidar pula, kata Lan, mereka juga kali pertama bergandingan dalam konsert.

“Saya percaya, menerusi latihan yang cukup, kami juga dapat menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu era 70-an dan 80-an sekali gus mengimbau nostalgia peminat,” katanya.

Konsert ini diiringi persembahan muzik live daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan barisan penari Astistari, Istana Budaya.

Tiket berharga RM30, RM50, RM90 dan RM100 sudah mula dijual dan maklumat mengenai tiket sila layari www.ilassotickets.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 5:01 AM