PEKERJA mengasingkan barang kitar semula sebelum diproses di sebuah kilang di Padang Meha.
Aizat Sharif


Padang Serai: Ketiadaan sistem yang menyeluruh di negara ini dalam kutipan sisa buangan plastik menyebabkan bahan berkenaan menjadi lambakan sampah membebankan negara.

Seorang pengusaha sebuah kilang kitar semula plastik sah di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Yeoh berkata, kesedaran untuk kitar semula terutama bahan buangan plastik di negara ini masih rendah.

“Apa yang berlaku di sini masyarakat lebih senang membuang saja botol plastik minuman mereka daripada menyimpan untuk dikitar semula.

“Jika dijualkepada peniaga barang lusuh sekali pun tidak begitu mendapatkan hasil yang dikehendaki dan ini menyebabkan proses kutipan sisa buangan plastik untuk dikitar semula tidak dapat dilakukan secara menyeluruh.

“Walhal, plastik adalah bahan yang mudah untuk dikitar semula berbanding kertas kerana kos dan sumber menjimatkan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di kilangnya di Kawasan Perindustrian Padang Meha, di sini, semalam.

Katanya, keadaan ini berbeza di negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) apabila kerajaan mereka menganugerahkan insentif kepada masyarakat mereka dalam memastikan kawalan bahan sisa plastik.

“Di negara maju seperti AS dan UK, kerajaan mereka begitu mengawal sisa buangan kitar semula seperti plastik ini. Mereka akan memberikan insentif seperti rebat untuk pembelian seterusnya apabila rakyatnya mengumpul sisa kitar semula plastik ini,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, di negara berkenaan jika seseorang individu itu membeli sebotol air mineral berharga RM2 maka dia layak untuk mendapat rebat RM1 saja untuk pembelian seterusnya atas kesedaran mengumpul dan menyimpan semula botol plastik air mineral itu.


PENYANGKUT baju antara barangan yang mengunakan plastik kitar semula di sebuah kilang di Padang Meha.

“Segala ini akan direkodkan menerusi kad rebat yang dipunyai mereka.

“Saya difahamkan di Kedah dan Perlis sudah dimulakan inisiatif ini menerusi kad rebat namun ia tidak menyeluruh dan tidak dilaksanakan secara meluas dan berterusan,” katanya.

Katanya, dengan langkah ini sekurang-kurangnya dapat menyedarkan masyarakat untuk mengitar semula sisa buangan terutama plastik.

Selain itu juga, kewujudan kilang atau pengusaha barang lusuh haram dilihat antara punca lambakan sisa sampah ini tidak dilupus atau dikitar dengan sistematik.

“Kita faham kilang atau pengusaha seperti ini adalah ‘orang baru’ dalam industri ini dan mereka perlu mematuhi serta memohon pelbagai lesen sebelum boleh menjalankannya secara besar besaran.

“Hendak disalahkan mereka pun tidak adil juga kerana sebelum boleh membuka operasi mengimport sampah atau bahan kitar semula ini, terdapat lebih daripada enam lesen yang perlu dipohon membabitkan pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Tenaga, Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia yang adakalanya memakan masa berbulan.

“Jadi agak sukar untuk peraturan ini dapat diikuti mereka dan tidak hairanlah jika mereka ini sendiri sanggup beroperasi secara haram atau tidak berlesen,” katanya.

Yeoh berkata, kilang kitar semula miliknya sudah menjalankan operasi lebih 30 tahun dengan mempunyai lebih 30 orang pekerja serta dilengkapi jentera mengikut spesifikasi ditetapkan.

Menurutnya, menggunakan lesen import (AP) syarikatnya mengimport banyak sampah untuk dikitar semula diperoleh dari AS, Eropah dan Jepun yang sampai di negara ini menerusi Pelabuhan Pulau Pinang.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 9:00 AM