JAMAIAH Zabidin, 51 menangis sambil ditenangkan anak bongsunya, Mohd Sahahirman, 23, selepas memberi penghormatan terakhir kepada Muhammad Azizul Roslan. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


GERAK hati bapa untuk berpatah balik ke kawasan bekas lombong di Kawasan Perindustrian Kanthan Baru 1, Kanthan Baru, dekat Ipoh, semalam membawa kepada penemuan jasad anak lelakinya yang dipercayai dibunuh selepas keluar memancing.

Mayat Muhammad Azizul Roslan, 24, ditemui polis empat meter dari tebing lombong itu pada 12.20 tengah hari selepas bapanya, Roslan Salim, 64, membuat laporan polis menemui motosikal dinaiki anaknya itu di situ.

Roslan berkata, dia sudah berasa tidak sedap hati sejak malam kelmarin selepas anak ketiga dari empat beradik dan belum berkahwin itu tidak pulang ke rumah selepas keluar, 1.30 petang kelmarin.

Katanya, dia memberitahu anak sulungnya, Nur Azizah, 27, yang berada di Batang Kali, Selangor untuk menghubungi telefon bimbit Muhammad Azizul sementara dia keluar mencari anak lelakinya di kawasan tempat memancing di Kanthan Baru.

“Saya cari dia di kawasan memancing dekat sempadan bukit, tak jumpa juga, kemudian ketika saya hendak keluar dari kawasan itu saya ternampak kawasan kelapa sawit dan ada bekas lombong. Gerak hati saya kuat mengatakan anak saya memancing di situ.

“Ketika saya tinjau kawasan itu, saya menemui motosikal Yamaha Y15 dinaikinya namun tidak jumpa kelibat arwah.

“Kemudian, saya lihat joran digunakan arwah patah, barang-barang pancing bertaburan di atas tanah malah beg pinggang yang mengandungi barang peribadinya hilang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, hari ini.

Menurutnya, sebaik menemui motosikal milik anaknya, dia pulang ke rumah untuk mengambil isteri, Jamaiah Zabidin, 51, sebelum membuat laporan di Balai Polis Kanthan Baru.

“Kemudian polis memaklumkan mayat arwah ditemui di bawah semak tidak jauh dari lokasi motosikalnya ditemui.

“Ketika melihat jasadnya, saya cam baju T berwarna coklat dan seluar jeans pendek paras lutut.

“Perasaan sedih dan marah silih berganti melihat anak saya diperlaku sedemikian namun saya reda yang pergi tetap pergi,” katanya.

Roslan berkata,pada Sabtu lalu, anak ketiganya itu ada meminta ibunya supaya memasak asam pedas ikan patin untuk dibawa dan dimakan bersama rakan di tempat kerja semalam.

Katanya, isterinya bangun awal pagi sebelum Subuh semalam untuk memasakkan lauk kegemaran Muhammad Azizul.

“Bagaimanapun hajat arwah tidak kesampaian, dia pun telah pergi selama-lamanya, ikan patin masak asam pedas tu pun tidak berusik, masih dalam periuk,” katanya.

Sementara itu, Nur Azizah berkata kali terakhir dia melihat adiknya menggunakan aplikasi WhatsApp pada jam 3.44 petang kelmarin.

“Kali terakhir arwah mengemas kini status WhatsApp, dia mengatakan dia memancing seorang diri,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata pemeriksaan awal terhadap mayat mangsa mendapati ada kesan jerutan pada leher, selain cedera di beberapa bahagian kepala termasuk lebam di bahagian mata kiri dan pipi serta telinga kiri.

Katanya, mayatnya ditemui pada jarak empat meter dari kawasan tebing kolam berkenaan sebelum dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

  • Mayat terapung dalam kolam ikan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 1:41 PM