Redzuan Muharam


Gombak: “Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dipanjangkan umur agar dapat menjaga suami dan membesarkan anak,” kata Araya [email protected] Abd Kadir, 43 yang kini mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga selepas suaminya Mustaffa Saad, 68, terlantar sakit akibat lumpuh kira-kira tiga tahun lalu.

Selain suami, Rafiah turut tinggal bersama tujuh anaknya iaitu Muhammad Khairi, 23; Noor Dayana, 22; Muhammad Khazidar, 18; Nurul Ahyiqin, 16; Muhammad Khaizuran, 9, dan Nur Zara Amira, 6.

Rafiah berkata, demi menyara keluarga, dia bekerja sebagai pembantu gerai makanan berhampiran rumah dengan pendapatan sebanyak RM30 sehari.

Namun, Rafiah berkata, jumlah itu tidak cukup memandangkan dia perlu menanggung perbelanjaan empat anak yang masih bersekolah, sewa bulanan dan bil utiliti selain kelengkapan suaminya seperti kain pembalut dan lain-lain lagi.

“Suami bersara sebagai pemandu di Tenaga Nasional Berhad (TNB) cawangan Selayang pada 2007 dan selepas itu, kami sekeluarga berpindah ke Gua Musang, Kelantan seterusnya berniaga kecil-kecilan di pasar malam.

“Bagaimanapun, perniagaan dijalankan ketika itu tidak begitu memberangsangkan menyebabkan saya dan suami nekad berhijrah semula ke Kuala Lumpur pada 2014 dengan harapan mendapat kehidupan yang lebih baik.

“Malangnya, rezeki tidak menyebelahi kami dan ujian semakin berat apabila suami diserang strok ketika tidur pada Disember 2016 yang menyebabkan seluruh badannya lumpuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pusu, Batu 8, di sini.

Bagi menyara keluarga, Rafiah bekerja sebagai pembantu di kedai nasi ayam dengan pendapatan harian sebanyak RM40 sehari, tetapi hanya bertahan selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan berhenti pada tahun lalu.

Rafiah berkata, berat hatinya untuk berhenti kerja namun terpaksa berbuat demikian kerana memikirkan suaminya yang memerlukan perhatian dan penjagaan rapi di rumah.

“Ikutkan hati, saya mahu terus bekerja tetapi apakan daya, tiada siapa boleh menguruskan suami dan anak pula masih bersekolah kecuali yang bongsu.

“Jadi, tanggungjawab terletak di bahu saya dan mujurlah, ada bantuan bulanan daripada Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain wang pencen suami.

“Beban saya juga berkurang apabila kos ubat-ubatan ditanggung hospital panel syarikat suami bekerja dulu namun pernah juga beberapa kali sewa rumah tertunggak selain terpaksa mengikat perut kerana tiada wang untuk makan.

“Manakala, anak juga ada kalanya tidak dapat ke sekolah kerana tiada wang saku namun susah macam mana sekalipun, saya akan cuba mendapatkan bantuan dengan saluran yang betul kerana tidak suka meminta-minta dengan jiran sekeliling mahupun adik beradik,” katanya.

Bercerita lanjut, Rafiah berkata, doktor memaklumkan suaminya tiada peluang untuk kembali sembuh dan berjalan seperti dulu.

“Sejak diserang strok, suami tidak dapat bertutur jadi dia hanya mampu memberi isyarat tangan sekiranya mahu meminta pertolongan.

“Pendek cerita, keadaannya tidak seperti dulu malah dia juga terpaksa makan dan menerusi saluran yang ditebuk di bahagian perut.

“Saya reda dengan ketentuan ini, namun bersyukur kerana tidak lagi menanggung semua perbelanjaan berseorangan sebaliknya mendapat bantuan daripada anak sulung, Muhammad Khairi dan kedua, Noor Dayana, yang masing-masing sudah bekerja sebagai pengawal keselamatan serta kru di syarikat produksi drama,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan keluarga berkenaan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank atas nama Mustaffa Saad di nombor 153047947296.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 7:29 AM
RAFIAH menjaga suaminya yang lumpuh sejak tiga tahun lalu di rumah mereka di Kampung Sungai Pusu, Gombak.
RAFIAH menjaga suaminya yang lumpuh sejak tiga tahun lalu di rumah mereka di Kampung Sungai Pusu, Gombak.
Digital NSTP Subscribe