DAGING kambing gurun yang ditemui anggota PERHILITAN.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) melancarkan perang besar-besaran bagi mengesan pendatang asing yang melakukan kerja sampingan sebagai pemburu haram hidupan liar dilindungi.

Operasi Ops Jerat itu diadakan susulan maklumat terdapat pekerja ladang dan pembalakan mengadakan ‘kenduri’ daging pelbagai hidupan liar terutama Kijang, Kambing Gurun dan Kucing Batu yang dijerat secara haram.

Terbaru semalam, pegawai Perhilitan Daerah Gua Musang, Daerah Kuala Krai dan Taman Negara Kelantan melakukan serbuan di rumah kongsi sebuah estet di Aring 8, Gua Musang, Kelantan.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, pegawai PERHILITAN melakukan pemeriksaan menyeluruh di rumah kongsi didiami 11 warga Indonesia yang bekerja di kawasan itu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, hasil pemeriksaan rapi dilakukan, pegawainya menemui sebahagian kulit kambing gurun di dalam bekas tidak bertutup selain daging kambing gurun di dalam periuk.

Menurutnya, turut ditemui sebahagian kulit dan tanduk Kijang selain busur serta anak panah yang dipercayai digunakan untuk memburu haiwan liar dilindungi itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua 11 individu disiasat itu tidak memiliki sebarang dokumen sah dari Jabatan PERHILITAN bagi tujuan pemilikan dan penyimpanan bahagian hidupan liar itu.

ANTARA bahagian hidupan liar dipercayai kambing gurun, kijang dan kucing batu yang dirampas daripada warga asing di Gua Musang. FOTO/NSTP

“Susulan itu semua warga asing terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memburu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan memiliki jerat,” katanya.

Sementara itu dalam operasi berasingan di lokasi berhampiran, pegawai Perhilitan turut menahan empat lelaki warga Myanmar yang mendiami sebuah rumah kongsi.

“Hasil pemeriksaan dilakukan menemui tiga kuku kucing Batu yang dipercayai dijerat suspek. Semua kuku dan daging hidupan liar itu dirampas manakala semua warga Myanmar itu turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

KUKU harimau.

Beliau berkata, kejadian itu bukan kes pertama berikutan Perhilitan sebelum ini turut berjaya membongkar kegiatan warga asing yang menjalankan kegiatan memburu secara haram di hutan simpan negara ini.

“Ada antara haiwan itu dimakan selain ada juga untuk tujuan diseludup keluar dari negara ini berikutan permintaan tinggi oleh sindiket. Ini antaranya membabitkan Harimau Belang, Tenggiling, pelbagai jenis burung dan sebagainya.

“Pada masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diharap menghubungi talian hotline PERHILITAN di 1-800-88-5151 atau layari laman web www.wildlife.gov.my untuk maklumat lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 9:32 AM