ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Tanah Merah, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail


WARGA emas maut dipercayai ditetak di hadapan biliknya dalam kejadian pecah rumah di Kampung Chap Rimau, Tanah Merah, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 5 pagi, mangsa, 84, mengalami kecederaan parah di bahagian pergelangan tangan kiri dan belakang kepala maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hasan berkata, siasatan mendapati mangsa mengalami pendarahan yang banyak dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

“Polis menerima panggilan daripada jiran mangsa yang menemui lelaki itu yang tidak sedarkan diri di dalam rumahnya.

“Sebaik menerima maklumat, anggota terus bergegas ke lokasi kejadian. Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan pendarahan di hadapan biliknya,” katanya.

Menurutnya, mangsa tinggal seorang diri dan berniaga secara kecil-kecilan.

“Kita jalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta salurkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 12:26 PM